Salam 'Aidil Akbarٍ

Catatan Oleh: .::.anNaQshY.::. | Sunday, December 31, 2006 | 2 Komen »

بسم الله الرحمن الرحيم

لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ، إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ

Salam Aidil Adha buat rakan-rakan seakidah... Walaupun ada di antara kita yang berbeza perkara-perkara yang furu', tetapi kita punyai kiblat yang sama.

Kita tetap menyambut 'aidil akbar yang sama. Menunaikan haji di tempat yang sama.

Kawan-kawan, mari tingkatkan ketakwaan. Mari utuhkan perpaduan, dekat-dekatkan perbezaan, cari titik noktah persamaan untuk mewujudkan perpaduan jamaah akidah menentang musuh Allah.

Bukan masanya manarik perhatian masyarakat awam persoalan kayu kokka, tetapi lupakan isu akidah ummat Islam di Malaysia kini yang terancam.

Kawan-kawan... mari, marilah tingkatkan keazaman perpaduan untuk masa hadapan Islam yang akan gemilang.

WaAllahua'lam

[+/-] Selengkapnya...

Cintai Dunia, Jahil Ilmu

Catatan Oleh: .::.anNaQshY.::. | Saturday, December 30, 2006 | 0 Komen »

بسم الله الرحمن الرحيم

عن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه قال: سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: من رأى منكم منكرا فليغيره بيده، فإن لم يستطع فبلسانه، فإن لم يستطع فبقلبه، وذلك أضعف الإيمان – رواه مسلم

Dari Abi Said al Khudri RA, katanya: aku dengar Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa salam bersabda: barang siapa di antara kamu yang melihat akan kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya. Jika sekiranya ia tidak berkuasa, maka hendaklah ia mengubahnya dengan lidahnya. Jika sekiranya ia tiada juga berkuasa, maka hendaklah ia mengubahnya dengan hatinya. Dan yang sedemikian itu (iaitu mengubah dengan hatinya) adalah selemah-lemahnya iman. Diriwayatkan oleh Imam Muslim)

Cintakan dunia dan hidup dalam kejahilan. Seorang ketua, bertanggungjawab untuk memimpin orang di bawahnya. Seorang suami bertanggungjawab terhadap anak serta isterinya. Seorang guru bertanggungjawab terhadap murid-muridnya. Seorang pemimpin masyarakat bertanggungjawab terhadap komuniti qariahnya, mukimnya, negeri serta negaranya.

Umat akhir zaman lebih mencintai dunia dari Allah dan RasulNya. Menganggap agama penghalang untuk kebebasan hidup. Jahil menjalani kehidupan berlandaskan ketakwaan, untuk mencari keredaan Ilahi buat bekalan hari akhirat. Lebih suka berhibur dari menuntut ilmu membasmi kejahilan.

Jadikanlah diri kita kategori yang pertama; iaitu alim, atau yang kedua; iaitu seorang pelajar, atau yang ketiga; iaitu yang mendengar kuliah agama, atau yang keempat; iaitu orang yang suka kepada ketiga-ketiga golongan di atas, tetapi janganlah jadi orang yang ke lima, iaitu bukan seorang yang alim, bukan juga seorang penuntut ilmu, bukan juga seorang pendengar kuliah ilmu, atau bukan juga seorang yang amat kasih kepada golongan alim, penuntut dan pendengar, maka akan binasalah golongan yang kelima ini.

Seorang suami berkuasa untuk menegur isteri dan anak yang melanggar perintah Allah. Seorang guru berkuasa terhadap anak muridnya menegur kesalahan serta mendidik. Seorang pemimpin berkuasa untuk membanteras apa jua benih-benih kemungkaran yang berlaku di bawah qariahnya, mukimnya, negeri serta negaranya.

Tapi, sayangnya di akhir zaman ini seorang suami tidak mampu menunjukkan keizzahan seorang suami menegur isteri dan anaknya. Seorang guru tidak lagi dihormati sebagai pendidik yang mendidik anak bangsa. Seorang pemimpin tidak menggunakan kuasa serta amanahnya untuk bertindak di atas kemungkaran yang berlaku, pusat-pusat berlakunya kemungkaran dibiarkan, malah lebih parah lagi bersengkonkol saham untuk membina serta membiakkannya lagi.

Oleh yang sedemikian itu, perkara mungkar adalah disepakati oleh semua ulama untuk membanterasnya. Dalam situasi sekarang, wajar kah kita membiarkannya, tetapi dalam masa yang sama lebih mengutamakan soal-soal yang diperselisihkan oleh ulama. Wajar kah golongan yang berdoa perlahan mempertikaikan serta menghujum golongan yang berdoa secara kuat, walhal kedua-dua amalan tersebut diterima. Wajar kah golongan yang pertikai kan amalan doa qunut di dalam solat subuh sebagaimana dijelaskan di dalam mazhab asSyafie, menghujum dan menempelak sahabat seakidah hanya kerana perkara furuk yang diperselisihkan, tetapi tidak mahu bersatu untuk menentang kemungkaran masyarakat yang meninggalkan solat.

Masyarakat kita masih lagi mencintai dunia, dan masih lagi hidup dalam kejahilan. Marilah bersatu untuk menyuluhi mereka di atas perkara yang disepakati.

WaAllahua'lam

[+/-] Selengkapnya...

AWAS: Kesan Sampingan Makan Kurma.

Catatan Oleh: .::.anNaQshY.::. | Sunday, November 26, 2006 | 2 Komen »

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum,

Dari ceramah Yg Bhg. Ustaz Ismail Kamus. Dari pemerhatian Us. Ismail Kamus, beliau menasihatkan bagi golongan kebanyakan supaya mengurangkan makan kurma terutama kurma nabi atau kurma Najwa.

Ini adalah kerana kurma ini boleh mendatangkan side effect kepada kesihatan manusia, iaitu mendatangkan masalah kebotakan kepala terutama bagi rakyat kebanyakan. Kesan sampingan kurma nabi ini diperakui oleh para doktor, akan wujudnya masalah kebotakan bagi golongan rakyat kebanyakan jika di amalkan hari-hari.

Tapi yang pasti ramai tak percaya, termasuk lah saya. Tapi Yg. Bhg Ustaz Ismail Kamus ada hujahnya;

"Mana Tak BOTAK kepala, kalau hari - hari makan atau sedekah Kurma Najwa yang harganya RM120 sekilo, orang kaya boleh le, ni kita bukan kepala je BOTAK, poket pun Rabak."

WaAllahua'lam

[+/-] Selengkapnya...

Ramadhan Karim...

Catatan Oleh: .::.anNaQshY.::. | Saturday, September 23, 2006 | 1 Komen »

بسم الله الرحمن الرحيم

Ahlan ya RamadhanRamadhan Karim… Kehadiran Ramadhan disambut dengan perasaan girang, gembira dan penuh kesyukuran bagi mereka yang mengharapkan keampunan dari Rabbul Jalil, yang Maha Pengampun buat hambaNya, yang ikhlas beribadah kepadaNya.

Seperti kebiasaan, amalan utama yang dilakukan oleh umat Islam di kala ini ialah solat tarawih. Kemudian disusuli dengan solat witir sebanyak 3 rakaat. Pada ketika ini, kelihatan ada yang berjemaah solat witir, dan ada juga yang bangun terus pulang tanpa berjemaah solat witir.

Kebiasaannya, mereka yang tidak solat witir berjemaah selepas solat tarawih ialah kerana hendak bangun semula untuk bertahajud di hening hari. Dan mereka akan akhiri solat witir selepas mengerjakan amalan sunat tersebut.

Persoalannya, yang manakah lebih afdal; solat witir berseorangan ataupun berjemaah? Untuk menjawab persoalan itu, mari kita rujuk kalam Imam an Nawawi di dalam kitabnya, al majmuk syarah kepada al Muhazzzab. Telah berkata Imam an Nawawi di dalam kitabnya itu pada muka surat: 509, jilid 3, cetakan al Maktabah al Irsyad.

فرع - إذا استحببنا الجماعة في التراويح استحبت الجماعة أيضا في الوتر بعدها باتفاق الأصحاب، فإن كان له تهجد لم يوتر معهم بل يؤخره إلى آخر الليل كما سبق فإن أراد الصلاة معهم صلى نافلة مطلقة وأوتر آخر الليل، وأما في غير رمضان فالمشهور أنه لا يستحب فيه الجماعة،

Maka, apa yang dapat difahami daripada kata Imam an Nawawi itu bahawasanya apabila solat tarawih itu sunat dilakukan secara berjemaah, maka disunatkan juga melakukan sunat witir secara berjemaah di dalam bulan Ramadhan. Selain dari bulan Ramadhan, tidak disunatkan melakukan solat witir secara berjemaah.

Oleh yang sedemikian, solat witir secara berjemaah di bulan Ramadhan terlebih afdal dilakukan secara berjemaah dari melakukan seorang diri. Kita tunggu la sehingga solat tarawih sampai habis, sampai kita sama-sama lakukan solat witir secara berjemaah.

Mari kita bersama-sama tingkatkan keazaman untuk menambah gandakan amalan sempena Ramadhan yang mulia ini. Jika dulu-dulu buat sekadar 8 rakaat sahaja, apa kata kita tambah nilai menjadi 20 rakaat pula. Moga-moga tinggilah darjat kita di sisi Allah Rabbul Jalil.

WaAllahua'lam

[+/-] Selengkapnya...

Kuliah Sheikh Nuruddin - Ogos 2006

Catatan Oleh: .::.anNaQshY.::. | Thursday, August 03, 2006 | 3 Komen »

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah, kurnia Allah tidak terhingga buat hamba-hambaNya. Diberi lagi kesempatan untuk mencoret ilmiah buat bekalan di Hari Kemudian. Moga dinilai sebagai amal soleh memudahkan jalan menuju syurga Ilahi.

Bersyukur mempu mencoret dicelah-celah keamanan, berbanding dengan saudara seagama kita yang hari-harinya berjihad menentang Yahudi laknatullah. Hidup mereka hanyalah jihad. Amat malang jika keamanan yang kita kecapi, kesempatan nikmat Allah yang tidak terhingga ini tidak digunakan untuk mencoret ilmiah. Moga pena itu mampu menyuluh jalan hidayah.

Bersyukur aku selamat pergi dan pulang dari Langkawi menghadiri kursus. Hampir seminggu lamanya. Melayari lautan yang luasa itu amat menggerunkan. Ajal maut tidak mengira tempat. Moga kita akhiri usia kita dengan 'husnul khatimah'. Seperti tidak diduga, sewaktu sibuk beraktiviti di sana, dikhabarkan pelakon; Allahyarham Hani Mohsin pergi sewaktu hendak pergi bercuti ke Langkawi juga. Tanpa di duga, dengan kecerian sebelumnya, setibanya di lapangan terbang dengan kelam kelibut, ajal menjemput. Itulah kehidupan. Bukan fokus ku kepada pelakon, tetapi fokus ku adalah persoalan ajal datang menjemput tidak mengira tempat dan usia. Bukti berlegar sekeliling kita. Mata hati mampu menilai segala peringatan Allah buat hamba-hambaNya yang mahu berfikir.

Meredah lautan dengan bot amat mengasyikan. Keindahan ciptaan Allah diiringan kalimah 'subhanaAllah'; maha suci Allah yang menciptakan segalanya. Tanpa di duga juga, keindahan itu boleh ditarik Allah hanya dengan sekelip mata dengan kekuasaanNya juga.

Kawan-kawan...

Aku ada menyentuh pada posting aku yang lepas, berkait dengan Syeikh Nuruddin. Aku bercadang untuk menyambung berkaitan 'isnad minadDin', seperti yang dibahaskan di mukaddimah Syarah Sahih Muslim. Kelemahan aku, hemah kurang, dipertanggungjawabkan lagi dengan beberapa tugas lain; melambatkan proses tersebut. Pejam celik, telah sampai khabar bahawa Syeikh Nuruddin akan hadir ke Malaysia seperti jadual di bawah.


Pengajian bersama
Sheikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki,
4 - 8 ogos 2006


Jumaat, 4 Ogos 2006
9.00 pg - 11.30 pg

Program muslimat (Masjid al-Falah, USJ9)

1.00gh – 1.20 tgh
Tazkirah Jumaat (Masjid al-Falah, USJ9)

8.00 mlm – 9.30 mlm
Pengajian & Diskusi Kitab: ‘Imam Shafie – Penghulu Imam & Pembaharu Ummah’ (Masjid Terapung Puchong Perdana, Puchong)

Sabtu, 5 Ogos 2006
9.00 pg – 10.30 pg

Pengajian & Diskusi Kitab – Sesi 1: ‘Ringkasan Nasihat Agama & Wasiat Iman‘ (Masjid al-Falah, USJ9)

10.45 pg – 12.15 tgh
Pengajian & Diskusi Kitab – Sesi 2: ‘Hadits Riwayat Sepuluh Sahabat Jilid 1’ (Masjid al-Falah, USJ9)

5.15 ptg – 6.45 ptg
Pengajian & Diskusi Kitab – Sesi 3: ‘Ringkasan Nasihat Agama & Wasiat Iman‘ (Masjid al-Falah, USJ9)

8.00 mlm – 9.30 mlm
Forum Perdana (Masjid al-Falah, USJ9)

Ahad, 6 Ogos 2006
9.00 pg – 10.30 pg

Pengajian & Diskusi Kitab – Sesi 1: ‘Ringkasan Nasihat Agama & Wasiat iman’ (Masjid al-Falah, USJ9)

10.45 pg – 12.15 tgh
Pengajian & Diskusi Kitab – Sesi 2: ‘Hadits Riwayat Sepuluh Sahabat Jilid 1’ (Masjid al-Falah, USJ9)

8.00 mlm – 9.30 mlm
Pengajian & Diskusi Kitab ‘Isra’ & Mi’raj – Persoalan, Dakwaan Palsu & Jawapannya’ (Masjid Jamek Tampin, Negeri Sembilan)

Isnin, 7 Ogos 2006
8.00 mlm – 9.30 mlm

Forum Perdana: ‘Amalan Bidaah Di Kalangan Masyarakat Islam – Bersama Dato’ Abu Hassan Din al-Hafiz (Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak)

Selasa, 8 ogos 2006
9.00 pg - 12.30 tgh

Program Muslimat: Fiqhu Nisa’ (Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak.

Rujukan dan pertanyaan: abuanis

Aku nasihati dengan senasihat-nasihatnya... Sesiapa yang benar-benar mahukan 'pencerahan' berkait persoalan yang telah difitnahkan kepada Tuan Guru Sheikh Nuruddin, elok la pi jumpa sendiri. Jadual kuliah telah diedarkan. Sesiapa yang menjadi antara rantaian-rantaian meng'kopi' n 'paste' segala tulisan yang menghentam tuan guru tanpa ada adab atas nama 'pemurnian', dengan segala gentlenya, pi la 'turun padang' berjumpa dan berbahas dengan tuan guru secara bersemuka penuh beradab.

Rasanya, cara tu la elok nak betul-betul 'pemurnian'. Sekadar baca tulisan tersebut, pastu 'angguk-angguk', n 'paste' kan di komuniti, rasanya tak betul lah. 'Taklid' buta gamaknya gitu. 'Ta'sub' tuli kepada individu yang menulis.

Itulah umat akhir zaman... Ummatii... Ummatii.. Ummatii...

Persoalan pokok ditinggalkan, yang cabang-cabang tu la nak 'digosek' sungguh-sungguh tanpa disiplin ilmiah dan adab sebagai ulamak.

Ulama, yang sebenar-benar ulama tak nak diikut, yang 'protaz' juga disanjung dengan sikap taklid dan taksub tuli...

Ummti... Ummatiii...

WaAllahua'lam

[+/-] Selengkapnya...

Resolusi Muzakarah Ulama'

Catatan Oleh: .::.anNaQshY.::. | Friday, July 21, 2006 | 0 Komen »

بسم الله الرحم الرحيم

Resolusi Muzakarah Ulama'

19 Jamadil Akhir 1427 H / 15 Julai 2006.
Taman Siswa Bandar Darulaman Jitra Kedah Darul Aman.


“Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu menjadikan pemimpin mu orang-orang yang membuat agama mu jadi bahan ejekan dan permainan, (iaitu) di antara orang-orang yang telah diberi kitab sebelum mu dan orang-orang kafir (musyrik. Dan bertakwalah kepada Allah jika kamu orang-orang beriman.”
( Surah Al Maidah 57 )

Menyedari bahawa ulama, umara dan seluruh umat Islam menanggung jawab amanah berat mempertahan, memperkukuh dan mengembangkan Akidah seluruh umat manusia.

Menginsafi bahawa Islam dan umat Islam kini sedang menjadi sasaran golongan anti Islam melalui pelbagai strategi dan penggemblengan, sumber di peringkat nasional dan antarabangsa. Konspirasi mengembangkan sentimen íslamophobia” (imej Islam menakutkan) sedang digerakkan di seluruh dunia dengan tujuan untuk melumpuhkan kekuatan umat Islam.

Menginsafi bahawa gejala murtad adalah suatu jenayah syariah yang sangat serius dan seluruh ulama, umara dan masyarakat Islam perlu mengguna seluruh kekuatan untuk membanteras gejala ini sehingga ke akar umbi.

Mengambil perhatian serius terhadap kewujudan pihak tertentu yang berusaha untuk memberi hak murtad secara bebas kepada semua atas nama hak perlembagaan melalui pentafsiran atau pindaan undang-undang.


Maka Muzakarah Ulama’ anjuran Persatuan Ulama’ Kedah dan Jabatan Mufti Negeri Kedah pada hari ini 19 Jamadil Akhir 1427 Hijrah / 15 Julai 2006 Masihi yang dihadiri seramai 150 orang peserta di Taman Siswa Bandar Darul Aman Jitra Kedah Darul Aman telah merumuskan resolusi berikut:


1. Merayu agar Majlis raja supaya mengambil perhatian berat terhadap usaha pihak-pihak yang mahu menggunakan perlembagaan Persekutuan untuk membenarkan hak-hak murtad di luar bidang kuasa Mahkamah Syariah. Majlis Raja-raja adalah pihak berkuasa tertinggi agama Islam di negara ini. Sebarang percubaan menjejaskan status Islam melalui undang-undang atau apa-apa saluran sekalipun adalah usaha mencabar kuasa Raja-raja sekali gus mencabar undang-undang negara.

2. Sebuah Akta Mahkamah Persekutuan perlu digubal untuk membicarakan konflik mengenai isu-isu yang tidak jelas bidang kuasa Mahkamah dan anggota Hakim perlu terdiri dari kalangan Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan dan bekas Ketua Hakim Syariah.

3. Pihak-pihak berkuasa agama di peringkat negeri hendaklah mempertahankan status syariah. Sebarang usaha untuk memindahkan peruntukan dalam Perlembagaan melalui parlimen supaya bidang kuasa agensi-agensi Islam termasuk Mahkamah Syariah berada di bawah undang-undan sivil adalah suatu usaha menafikan hak umat Islam mengguna pakai undang-undang syariah sebagai undang-undang tertinggi.

4. Segala penggubalan dasar negara perlulah mendapat nasihat para ulama sebelum diluluskan dan dilaksanakan. Dasar-dasar yang dimaksudkan di sini ialah segala dasar yang boleh mempengaruhi kepentingan dan kelangsungan hidup negara masa kini dan masa depan seperti dasar pendidikan, dasar bahasa, dasar yang menyentuh media cetak dan media elektronik, dasar penerangan dan penyiaran yang melibatkan dunia hiburan, seni lakon, seni suara, dasar keselamatan dalam negara dan luar negara, dasar yang berkaitan perundangan dan badan kehakiman dan sebagainya.

5. Pihak berkuasa perlu berhenti menyediakan prasarana gejala sosial dan persekitaran yang menjurus kepada maksiat. Pusat-pusat hiburan yang menyediakan ruang untuk melakukan maksiat wajib ditutup. Kerana kerosakkan pada akhlaq manusia akan menambahkan beban negara.

6. Pihak berkuasa perlu mendaulatkan semula peraturan Islam di dalam semua sudut kehidupan manusia. Kebaikan dan kebahagiaan yang dihasilkan oleh peraturan Islam adalah untuk dimanfaatkan dan dinikmati oleh golongan Islam dan bukan Islam.

7. Segala program dan perancangan oleh pihak pemerintah dan juga pihak lain, lebih-lebih lagi yang melibatkan kepentingan golongan remaja dan belia, hendaklah menjurus kepada pengukuhan iman, pembinaan akhlak dan pemuliharaan jati diri bahasa, bangsa dan negara.

8. Segala rancangan TV, radio, seni lakon, seni suara, seni tari, filem, konsert dan lain-lain bentuk hiburan perlu mendapat kelulusan atau nasihat majlis ulama sebelum dipersembahkan kepada orang ramai.

9. Ulama’ harus kembali kepada peranannya untuk mendidik dan mentarbiahkan umat supaya terbentuk suatu jemaah yang memahami dan menghayati ajaran Islam serta melaksanakannya di dalam kehidupan di semua peringkat.

10. Para Ulama’ perlu bersatu dalam perasaan, fikrah dalam persatuan dan persaudaraan. Justeru, majlis-majlis seperti muzakarah, multaqa, nadwah, munaqasah, dialog dan sebagainya perlu diperbanyakkan untuk membentuk suatu kumpulan yang berpengaruh untuk menghadapi.

11. Umat Islam perlu peka dan waspada terhadap cabaran aliran pemikiran Islam semasa atau yang diwarisi dari zaman silam dan beberapa aliran pemikiran moden hasil asakkan globalisasi dan di bawa masuk ke dalam masyarakat Islam. Aliran pemikiran sekular yang menguasai pendidikan, perundangan, pentadbiran dan sebagainya perlu ditolak. Pluralisme agama, Islam Liberal perlu dikaji dan di tolak dengan cara melengkapkan diri masing-masing dengan ilmu keislaman dan semasa yang secukupnya. Lanjutan dari itu terus beristiqamah dan menghayati pemikiran Islam yang sebenar berasaskan al-Quran dan as-Sunnah

12. Untuk mempertahankan status Islam dalam perlembagaan dan memperkasa ummah menghadapi ancaman murtad dan sebagainya. Umat Islam mesti bangun mempertahankan agamanya daripada segala unsur melalui pelbagai saluran termasuk politik dan perundangan, atau mengadu kepada majlis Raja-raja Melayu yang mempunyai kuasa untuk mempertahankan agama Islam daripada tindakan kezaliman musuh-musuhnya.

Penutup

Penghargaan dan terima kasih khusus kepada Sahibul Samahah Datuk Paduka Sheikh Hasbullah Bin Abdul Halim yang sudi merasmikan persidangan ini. Seterusnya kepada AJK induk dan pelaksana persidangan, Taman Siswa bandar Darul Aman, pembentang kertas kerja, petugas-petugas dan semua pihak, kumpulan dan individu yang turut menjayakan persidangan ini. Terima kasih.

Bagi pihak AJK Muzakarah, Jawatankuasa Resolusi dan peserta.

Syeikh Abu Bakar Awang
Pengerusi Muzakarah Ulama
(Yang Dipertua Persatuan Ulama’ Kedah)

[+/-] Selengkapnya...

Muzakarah Ulama': Murtad; Punca Dan Penyelesaiannya.

Catatan Oleh: .::.anNaQshY.::. | Tuesday, July 11, 2006 | | 0 Komen »

بسم الله الرحمن الرحيم

Muzakarah Ulama’: “Murtad; Punca Dan Penyelesaiannya”

Tarikh: 15 Julai 2006 bersamaan 19 Jamadil Akhir 1427 (Sabtu)
Masa: 8.00 pagi hingga 3.00 petang
Tempat: Dewan Taman Siswa, Tanah Merah, Jitra.
Anjuran: Persatuan Ulama’ Kedah & Jabatan Mufti Negeri Kedah
Penyertaan: Wakil dari agensi kerajaan, swasta, NGO, ABIM,
JIM, PAS, UMNO dan lain-lain. (terhad 100 orang sahaja)


Tentatif

8.00 pagi : Pendaftaran

8.45 :Majlis Perasmian oleh: S.Samahah Dato’ Mufti Negeri Kedah Darulaman

9.45 : Rehat

10.00 : Muzakarah 1

1) “Murtad; Punca dan Penyelesaiannya”
Oleh: Ustaz Yusuf Bin Mahmud
Persatuan Ulama Kedah


2) “Murtad; Ajaran Sesat dan Sihir”
Oleh: S.F Tuan Syeikh Fadhil Bin Haji Awang
AJK Fatwa Negeri Kedah


11.30 : Muzakarah 2

1) “Murtad; Media dan Gejala Sosial di Malaysia”.
Oleh: Haji Ahmad Bin Haji Kassim.
WADAH

2) “Murtad dan Peruntukan Undang-Undang di Malaysia”
Oleh: Dato’ Syeikh Azmi Bin Ahmad
Bekas Ketua Hakim Syarie


1.00 tengahari : Jamuan / Solat Zohor

2.00 petang : Muzakarah 3

“Murtad dan Perancangan Musuh Islam”
Oleh: Haji Azmi bin Hamid
TERAS


3.00 petang : Resolusi

[+/-] Selengkapnya...

Ulama Yang Bersanad

Catatan Oleh: .::.anNaQshY.::. | Sunday, May 21, 2006 | 3 Komen »

بسم الله الرحم الرحيم

بَارَكَ اللهُ لَكَ، وَبَارَكَ عَلَيْكَ، وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا في الخَيْر

Aku doakan buat sahabat aku; akhimasrawi yang telah selamat mengadakan kenduri perkahwinan pada kelmarin, Sabtu 20 Mei 2006, moga-moga Allah taala kurniakan keluarga yang bahagia, anak-anak yang 'qurratul 'ain', mewarisi perjuangan menegakkan kalimah Allah Subhanhu wa taala.

Hujan sepanjang perjalanan ke sana. Dari rumah aku, jeti Kuala Perlis seterusnya sampai Langkawi. Semasa di dalam feri ke Langkawi, hujan agak lebat, laut bergelora. Nun jauh kelihatan, hujan turun mencurah-curah, gelap menandakan lebatnya hujan. Allah Maha Kaya, di lautan serba luas ini diturunkan lagi hujan.

Semasa laut bergelora, kapal terhuyung-hayang, teringat aku akan hizib yang sentiasa dibaca oleh Syeikh Nuruddin ketika hendak memulakan kuliah; iaitu Hizib Bahr. Berkenaan hizib ini, telah diceritakan Imam Syazali Rahimahulah, satu hari beliau ingin pergi haji, beliau mengambil jalan laut. Kapten kapalnya ialah seorang Nasrani. Tengah perjalanan tiba-tiba tidak ada angin. Bukan setakat sehari, tetapi berhari-hari. Semua awak kapal sangat gelisah dan berduka cita.

Dalam kegelisahan inilah beliau bermimpi Rasulullah SallaAllahu 'laihi Wa salam. Lalu Baginda mengajarkan al Imam akan Hizib ini. Apabila siang sudah tiba, al Imam menyuruh kapten itu bersiap-siap untuk belayar. Kapten hairan lalu bertanya: "mana anginnya tuan?" jawab al Imam: "sudah, siap-siap, sekarang angin datang!" jawab al Imam. Rupanya memang benar apa yang dikatakan oleh al Imam, angin pun datang. Kemudian kapten Nasrani itu memeluk Islam dengan sebab kejadian yang luar biasa ini.

Hizib Bahr inilah yang di baca sebelum mulakan kelas tafaquh. Alhamdulillah, aku bersyukur kepada Allah. Dalam hidup aku ini, aku dapat bertemu dan mengikuti kuliah Syeikh Nuruddin. Belajar secara 'talaqi'. Telah lama aku ingin belajar secara 'talaqi'. Aku belajar di IPT, tak pernah aku merasai kepuasan belajar melainkan aku dapat belajar secara 'talaqi'.

Syeikh Nuruddin amat menitikberatkan adab ketika belajar. Kami dipesan agar tidak meletakkan pen, atau pensel atau apa jua barang di atas kitab yang kami belajar. Kami dipesan juga supaya tidak menyandar di dinding. Dan banyak lagi adab-adab yang ditekan semasa pengajian.

Syeikh Nuruddin amat hormat kepada alim ulama. Tak pernah aku dengari Syeikh kondem mana-mana ulama silam, sama ada di dalam kuliah atau pun tulisan. Berbanding segelintir dari kita, baru dapat sedikit kenikmatan dunia, pangkat dunia sudah mudah kondem ulama sesuka hati dengan alasan pemurnian.

Antara kitab yang dikarang oleh syeikh ialah permasalahan haid, nifas dan istihadhah. Kitab tu telah diterjemahkan ke Bahasa Melayu. Baik bagi isteri, suami untuk mengetahui secara 'detail' berkenaan masalah tersebut. Walaupun ia hanya berkenaan soal wanita, tetapi sebagai seorang ketua keluarga, hendaklah tahu berkenaan hal tersebut untuk mengajar kepada isteri dan anak-anak perempuan.

Antara kelebihan syeikh Nuruddin ialah kitab-kitab yang diajarkannya itu, punyai sanad. Jika kita tengok ulama-ulama silam pun, atau sekarang, semuanya punyai sanad. Contoh mudah ialah Syeikh Dr. Ali Jum'ah, mufti Mesir pun di dalam kitabnya iaitu:

حاشية الإمام البيجوري

على جوهرة التوحيد المسمى تحفة المريد على جوهرة التوحيد


Pada muka surat 8, ditulis sanad Syeikh Ali Jum'ah:


سندي في قراءة كتاب جوهرة التوحيد

Boleh rujuk kitab tersebut untuk melihat dan membaca sanad Syeikh Alu Jum'ah. Cuma, di sini aku ingin tulis sedikit nama-nama ulama, yang ditulis oleh Syeikh Ali Jum'ah di dalam sanad beliau iaitu:


الفضل عبد الله بن سيدي محمد بن الصديق الغماري الحسيني

الشيخ محمد علوي المالكي المكي

اليسد أبي الفضل عبد الله بن الصديق

مسند الدنيا رحمه الله يس الفادني الشافعي

عن الشيخ أحمد زيني دحلان مفتي مكة الشافعي


Kawan-kawan, firman Allah Subhaanahu wa taala yang bermaksud:

6. Pada hari itu manusia ke luar dari kuburnya dalam keadaan bermacam-macam, supaya diperlihatkan kepada mereka (balasan) pekerjaan mereka.

7. Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya.

8. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula.


(al Zalzalah; 6-8)


Di akhirat nanti, kita akan diperlihatkan amalan kita. Amalan seberat zarah pun akan diperlihatkan oleh Allah. Jika tulisan kita yang meng'kondem' ulama-ulama, ulama tu tak kena, ulama ni tak kena, melemparkan tuduhan serta fitnah membuta tuli dengan pelbagai tuduhan, nescaya akan diadili Allah Subhanahu wa Taala.

Lebih-lebih lagi ulama yang belajar dan mengajar ikhlas menyampaikan ilmu kerana Allah, segala ilmu yang dipelajari bersanad, bukannya sesuka hati bercakap, atau menulis dengan tuduhan ajaran baru untuk meraih keuntungan duniawi.

Oleh itu berhati-hatilah, jangan hanya memandang akan seseorang itu PhD nya, master nya, atau lain-lain gelaran. Sesungguhnya Allah melihat akan ketakwaan hambaNya. 'Ulama' yang bertakwa semestinya ikhlas menyampaikan ilmu, menghormati dan penuh beradab dengan ulama-ulama sebelum nya. Bukan semberono meng'kondem' ulama.

Jika di tanya, antara ulama, kitab ulama dengan hadis, yang mana nak ikut? Jawab aku;

العلماء ورثة الأبياء

Rasanya mudah ja kan… Semua ulama yang ikhlas mengarang kitab berpandukan alQuran dan al Hadis, semua ikut 2 sumber rujukan tersebut. Hanya yang asyik 'kondem' ulama-ulama lain sahaja tak beradab, berakhlak serta berpandukan al Quran dan as Sunnah, walaupun beriya-riya berselindung slogan 'pemurnian'.

WaAllahua'lam

[+/-] Selengkapnya...

Bertawaduklah Wahai Insan...

Catatan Oleh: .::.anNaQshY.::. | Thursday, May 18, 2006 | 2 Komen »

Bismillahirrahamanirrahim...

Kawan-kawan, telah bersabda Nabi SAW:


من تواضع لله رفعه الله

(Riwayat Imam Ahmad dan Ibnu Majah)

Akhlak yang mulia, ibarat tanaman yang menghasilkan buah yang ranum untuk dinikmati. Ilmu di dada, amalan yang sempurna akan menghasilkan akhlak yang terpuji. Antara sifat yang terpuji dikatakan Baginda Rasul junjungan ialah sifat tawaduk, rendah diri. Siapa yang tawaduk, akan diangkat darjat di sisi Allah.

Setinggi mana peringkat kita belajar, semakin tinggi, semakin cantik akhlak diri kita. Seorang yang belajar pada tahap tertinggi pendidikan PhD, secara umumnya mestilah lebih berakhlak, tawaduk dari insan lain yang terkapai-kapai menjejak menuntut ilmu. Kerana, semestinya dengan 'title' PhD nya itu telah menyusuri ribuan bahan ilmiah yang boleh memantapkan sahsiah diri untuk dicontohi anak murid lain.

Kawan-kawan, ulama silam dahulunya, lebih alim dan dekat dengan kurun Nabi tetap tawaduk dengan ilmu yang dimiliki. Tidak tercatat di lembaran sejarah ulama-ulama muktabar tidak berakhlak. Walau pun, 'title' PhD tidak diguna pakai pada masa dahulu, kitab-kitab yang dikarang oleh mereka menggambarkan betapa tawaduknya dengan ilmu yang dimiliki.

Tetapi sayang sekali, sikap sebegini tidak menjadi contoh untuk diteladani bagi 'ulama' sekarang. Sifat tawaduk seorang 'ulama' tidak menjadi perhiasan diri. Berbangga dengan pangkat duniawi, dengan mudah tidak menghormati ulama silam, dan juga ulama yang masih hidup.

Masih ingat kah kalian kisah bagaimana iblis enggan sujud setelah diperintah oleh Allah? Mari kita ingati semula firman Allah SWT di dalam surah al Baqarah, maksudnya:

34. Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam," maka sujudlah mereka kecuali Iblis; ia enggan dan takbur dan adalah ia termasuk golongan orang-orang yang kafir.

Iblis punyai sifat takbur, dengan sifat takbur 'aku lebih baik dari dia' menjadikan iblis dilaknat oleh Allah SWT.

Oleh yang sedemikian, wahai kawan-kawan, bak kata orang, makin berisi, makin rendah diri, makin berakhlak sesama manusia, lebih-lebih lagi berakhlak dengan para ulama lain walau pun kita dikatakan orang juga 'ulama'. Raikan pendapat yang lain, lebih-lebih lagi di dalam persoalan khilaf, persoalan furuk selagi mana tidak menyentuh mengganggu gugat atas persoalan yang telah disepakati, ijmak ulama.

Aku mintak jauh, mintak dilindungi Allah di dalam hati; "pendapat aku lebih baik dan sahih dari pendapat dia" Walaupun suatu hari nanti, aku telah diberi gelaran 'dunia' PhD.

Wahai "aku", beringatlah, takwalah kamu wahai anNaQshY pada Allah…

waAllhua'lam.

[+/-] Selengkapnya...

Kuatkan Perpaduan

Catatan Oleh: .::.anNaQshY.::. | Tuesday, May 16, 2006 | 0 Komen »

Bismillahirrahmanirrahim…

Kawan-kawan sekalian, mari kita hayati firman Allah di dalam surah al Maidah yang bermaksud:

Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya.

Asas kepada kekuatan adalah perpaduan. Masyarakat yang lemah adalah yang tidak punyai perpaduan. Untuk mengembalikan keizzahan Islam di dunia amnya, Malaysia khasnya memerlukan perpaduan yang utuh di kalangan kita selaku ummat Nabi Muhammad Sallahu'alaihiwasalam yang berakidah mengEsakan Allah Subhanahuwataala.

Oleh yang sedemikian, marilah kita sama-sama eratkan ribat kesatuan akidah untuk menentang musuh Allah. Tolong-menolong di antara kita untuk mengerjakan kebaikan, meningkatkan ketakwaan kepada Ilahi.

Kaedah asas yang mudah diingati: bersatu atas perkara yang disepakati, berlapang dada di atas perkara yang diperselisihkan.

Perkara yang diperselisihkan, lapangkanlah dada seluas-luasnya untuk menerima pendapat yang tidak sehaluan. Tanpa mengangkat diri beranggapan "akulah yang telebih baik dari kamu, kamu mesti ikut hujah aku" tanpa mudah menghukum yang tidak sehaluan dengan pelbagai hukuman. Tidak timbul mengatakan "nak ikut ulama atau nak ikut Nabi?" kerana semua ulama yang berijtihad bersumberkan al Quran dan as Sunnah. Tidak timbul juga persoalan yang mana terlebih dekat dengan amalan Nabi, kerana apa jua persoalan tersebut juga semuanya berdasarkan dalil dari Nabi, Sahabat dan para Tabiin.

Marilah kita fikirkan persoalan yang disepakati, bagaimana untuk meng'islam' kan kawan-kawan kita yang sedia Islam, atau bagaimana untuk menarik masyarakat bukan Islam mendekati Islam dan menerima Islam. Mari kita juga keluarkan dalil-dalil yang sahih untuk menentang kemungkaran kerana menentang kemungkaran kita sedia sepakati untuk hapuskan.

Mari kita fikirkan untuk islahkan masyarakat Islam kita ke arah hidup menghayati Islam secara keseluruhan tanpa menjuzuk-juzukkan. Mari kita fikirkan bagaimana untuk meningkatkan lagi keizzahan Islam.

Kawan-kawan, kita hidup di akhir zaman, hidup di alam suasana yang jauh dari kurun Nabi, hidup yang penuh dengan fitnah duniawi.

Ayuh... Ribatkan Kesatuan Akidah Meningkatkan Izzah, Menentang Musuh Allah.

waAllhua'lam.

[+/-] Selengkapnya...

Israel's Secret Weapon

Catatan Oleh: .::.anNaQshY.::. | Friday, April 07, 2006 | 2 Komen »

Bismillahirrahmanirrahim...

Kesatuan akidah, tonggak keutuhan ummah... Kata-kata ini perlulah sering bermain di bibir-bibir kita. Berikan peringatan kepada kawan-kawan kita agar bersatu di landasan tauhid, memberikan kegerunan kepada musuh Allah SWT. Hindari sikap mencarik kaedah ulama menghadapi persoalan khilaf. Berlapanglah dada-dada kamu, sesunguhnya kita berdiri sebaris di dalam satu barisan dalil-dalil yang qat'ie.

Kali ni, aku paparkan sedikit sebanyak isi kandungan dokumentari berjudul "Israel's Secret Weapon" yang aku perolehi. Mereka membina kekuatan untuk hadapi dunia arab di sekelilingnya, untuk merampas tanah suci Islam dan juga sahabat seagama kita di Palestin bergadai nyawa berjuang mempertahankan agama, maruah dan tanah air. Tetapi ada di antara kita bersedap-sedapan bermain-main denga isu khilaf. Yang tak ngerti urusan agama, terus mudah menghukum umat Islam yang lain ngan kalimah bid'ah. Konon-kononnya pendapat merekalah sahaja lah yang benar.

Di atas kelemahan inilah, musuh Islam mengambil peluang melemahkan lagi keutuhan ummah. Mereka terus menguasai dunia. Menguasai dunia bukan kerena mereka kuat, tetapi kerena kejahilan ummat Islam mempertengahkan isu-isu khilaf, seterusnya berbalah sesama sendiri. Akhirnya, musuh Allah bergelak ketawa melihat lemahnya ummat Islam.










Kawan-kawan dari pihak salafi, wahabi, atau seumpamanya apa jua label kepada kalian, tinggalkanlah sikap kamu yang melemahkan ummah. Kita banyak lagi urusan yang perlu dilaksanakan. Ada perkara yang disepakati untuk diperjuangkan. Kawan-kawa kita di Palestin siang malam berjuang mempertahankan agama dan tanah air, bukan pertahankan siang malam soal qunut, soal tawassul, soal tahlil, soal pembahagian bid'ah...

WaAllahua'lam...

[+/-] Selengkapnya...

Minggu Penghayatan Sunnah Sempena Maulidurrasul SAW

Catatan Oleh: .::.anNaQshY.::. | Tuesday, April 04, 2006 | 0 Komen »

Bismillahirrahmanirrahim...

Minggu Penghayatan Sunnah Siri 2
Sempena
Sambutan Maulidur Rasul 1427h


Tarikh: 5 April 2006 hingga 10 April 2006

Masa: 9.00 pagi hingga 12.30 tengahari dan 8.00 malam hingga 10.30 malam

Tempat: Dewan Masjid Al-Bukhari, Alor Malai, Alor Setar.

Anjuran : Jabatan Mufti Negeri Kedah dengan kerjasama Yayasan Al-Bukhari Alor Setar.

Tentatif Program

6 Rabiulawal 1427 / 5 April 2006 (Rabu)

8.30 pagi: Pendaftaran

9.30 pagi: Bacaan Doa

9.45 pagi: Taklimat Urusetia

10.00 pagi: Ucapan Perasmian oleh- S.S Dato’ Paduka Mufti Negeri Kedah

10.30 pagi : Forum Maulidurrasul

“Keunggulan Ilmu Teras Kegemilangan Ummah”

Ahli Panel : - Yg. Bhg. Syeikh Hazizan (Qadi Langkawi)

- S.Fadhilah Tuan Sy. Mohd. Nuruddin Marbu Al- Banjari
Al-Makki

- Ustaz Aminuddin Bin Abdul Rahim.

Moderator - Ustaz Mohd. Isa Bin Hj. Abdul Rahman

12.00 tengah hari : Rehat

8.00-10.30 malam: Pengajian Umum

كتاب تهذيب مشكات المصابيح

7 R’awal 1427 / 6 April 2006 hingga 10 R’awal 1427 / 9 April 2006

9.00 -12.00 tengah hari: Pengajian Umum

كتاب النصائح الدينية

8.00 -.30 malam: Pengajian Umum

كتاب تهذيب مشكات المصابيح


11 R’awal 1427 / 10 April 2006 ( Isnin)

8.30 pagi: Pendaftaran

9.30 pagi: Khulasah/ Rumusan

Oleh: - S.Fadhilah Tuan Syeikh Mohd. Nuruddin Marbu Al- Banjari Al-Makki

11.30 pagi: Perasmian Penutup
Oleh: S.S Dato’Paduka Mufti Negeri Kedah .

12.00 tengah hari: Bersurai

waAllhua'lam...

[+/-] Selengkapnya...

Makluman

Catatan Oleh: .::.anNaQshY.::. | Saturday, March 18, 2006 | 0 Komen »

Bismillahirrahmanirrahim...

Makluman, kepada semua sahabat - sahabat, InsyaAllah Sheikh Nuruddin al Marbu al Banjari al Makki, akan turun ke Kedah, pada 5 - 10 April ini. Kuliah tuan guru akan diadakan di Masjid Bukhari. Tentatif lengkap akan aku paparkan secepat mungkin. Yang ku faham, dalam tempoh itu akan di adakan forum lebih kurang bertajuk "Ke Arah Menghayati Sunnah". Nanti la, aku pastikan semula...

Yang ku dapat, kuliah akan bermula jam 9.00 pagi - 12.00 tengah hari dan 8.00 malam - 10.30 malam.

Makluman juga, kepada sahabat - sahabat, boleh lah memohon tauliah mengajar (untuk mengajar di masjid - masjid) daripada Jabatan Mufti Kedah, Wisma PKNK. Borang tersebut boleh diambil percuma, dan hendaklah dihantar sebelum 30 haribulan ini.

waAllhua'lam.

[+/-] Selengkapnya...

Minggu Ini...

Catatan Oleh: .::.anNaQshY.::. | Thursday, March 16, 2006 | 4 Komen »

Bismillahirrahamnirrahim…

BaarakaAllahulaka, wabaaraka 'alaika, wajama'a bainakuma fil khair... Keluar dari bibir ku, setelah selesai akad nikah sahabat seguru ku. Tersenyum lebar kelihatan dari wajahnya, tanda kesyukuran dan kegembiraan menyahut tuntutan Sunah Rasulullah S.A.W. Bertempiaranlah lari iblis dan syaitan kedukacitaan kerana gagal menghasut anak Adam untuk melakukan yang bertentangan dengan syariat agama. Moga akan lahirlah zuriat – zuriat yang soleh dan solehah yang akan memakmurkan bumi Allah sebagai khalifah Nya yang beriman.

14 Mac 2006...

Ziarah rakan ku di SRIDU, kebetulan ketika itu, ada program reunion KBS. Setelah selesai, ketika makan bersama rakan ku itu, teringat akan guru ku; Pak Long Zainal Asri. Tiba – tiba, SMS sampai kepada rakan ku itu, rakan ku itu menunjuk SMS kepada ku, rupa – rupanya SMS dari Pak Long. Tersenyum kami berdua. Masya Allah, mungkin ada rabitah hati yang kuat, berkat kenangan mengikuti program bersama – sama di alam persekolahan. Hari hujung minggu, kami akan menyewa van untuk bersama – sama ikuti rehlah ziarah ulama. Antaranya, Pak Long Zainal Asri yang sering kami ziarahi.

Rakan – rakan ku... Kalian tetap ada di dalam doa rabitah ku... Nabil, Anuar Saad, Ibrahim (pengantin baru), Pak Lang, Yusaini, Ihsan, Fauzi, Mahadzir, Azmir Azizan, Rafizi, Tarmizi Ismail, Ikhwan Zainuddin, Naim Mohamad... Dan ramai yang tak mampu ku taip di sini... Betul kata Pak Long, kenangan di training dahulu, sedikit sebanyak menguatkan kekuatan untuk sentiasa tetap di atas jalan ini. Pak Long selalu pesan, agar di bacakan selalu doa rabitah, pejamkan mata dan ingati wajah kawah – kawan yang bersama kita di atas jalan – jalan ini...

15 Mac 200...

Ketika menunggu sepupu ku di Pasar raya Pasific, tiba – tiba ku tertoleh seorang hamba Allah yang ku kenal, berkain pelikat, berbaju Melayu, berserban putih... muka berseri – seri bercahaya... Tidak sempat ku kejar... Dari jauh ku perhatikan dia turun ke tingkat bawah, seterusnya hilang... Siapakah dia? Dialah Pak Long Zainal Asri. Baru ku niat, bila ada kesempatan menziarahinya... Allah telah takdirkan ku melihat wajahnya. Melihat wajah ulama, tenang rasa di hati.

Sekadar catatan, bacalah yang tersurat, tiliklah apa yang tersirat. Sekarang, ku cuba cari bahan untuk syarah kepada hadis jariah. Sememntara ini, eloklah ku masukka sedikit bahan agar tidak terlalu jauh tarikh catatan ku di dalam blog ini.

waAllahua'lam...

[+/-] Selengkapnya...

Akidah Sahih Tonggak Perjuangan

Catatan Oleh: .::.anNaQshY.::. | Saturday, March 11, 2006 | | 0 Komen »

Bismillahirrahmanirrahim...

Tulisan Shahnon: Kenapa parti Islam kalah pada tarikh yang lalu, aku rasakan perlu untuk kita ingati serta ambil peringatan kepada diri kita yang 'bergelar' pejuang yang inginkan menegakkan kalimah Allah di bumi amnya, dan di tanah air kita khasnya. Sering kali kita dengari faktor-faktor kekalahan Parti Islam di arena perjuangan demokrasi ialah faktor luaran. Sering melontarkan serta meletakkan faktor kekalahan disebabkan perancangan penipuan dari pihak pemerintah.

Mari kita sama-sama renungi firman Allah SWT di dalam surah ali 'Imran ayat 54; maksudnya:

Orang-orang kafir itu membuat tipu daya, dan Allah membalas tipu daya mereka itu. Dan Allah sebaik-baik pembalas tipu daya.

Ayat ini telah menceritakan kepada kita bahawasanya pihak kuffar Bani Israel telah merancang untuk membunuh Nabi Isa 'alaihi salam, dengan kuasa Allah SWT telah menggagalkan perancangan mereka menukar Nabi Isa As dengan salah seorang hawariyyin dan telah mengangkat Nabi Isa As ke langit.

Persoalannya, kenapa perjuangan kita sekarang yang sememangnya berlandaskan al Quran dan as Sunah sering ditumpas dengan perancangan-perancangan pihak musuh Allah SWT? Di manakah silapnya perjuangan sehinggakan perancangan batil pihak musuh dimenangkan Allah? Sedangkan adalah mudah bagi Allah SWT untuk membalas perancangan batil pihak musuh dan memenangkan perjuangan Islam yang diredai Nya.

Mungkin kita terlupa untuk kembali petunjuk Nabi S.A.W yang mengajar kepada kita dengan memacakkan tonggak perjuangan selama 13 tahun di Mekah berkisarkan akidah yang sahih. Dan adakah perjuangan kita sekarang di atas akar tunjang akidah yang sahih? Sekiranya akar tunjang itu rapuh, tidak dibina atas akidah yang sahih, bagaimana pertolongan Allah SWT akan datang memusnahkan perancangan – perancangan pihak musuh.

Apakah akidah yang sahih itu? Iaitu mengesakan Allah sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh ulama – ulama salaf dan khalaf. Tapi, sayangnya, aku perhatikan rata – rata pejuang Islam memandang enteng akan tonggak perjuangan itu. Bilamana persoalan akidah tidak pasak dengan sekukuhnya, maka jauhlah pertolongan Allah itu.

Para pejuang agama Allah SWT ada yang berakidah dengan menyamakan Allah SWT dengan makhluk. Mereka – mereka ini mengiktikadkan bahawasanya Allah SWT itu bersifat dengan mengambil zahir ayat mutasyabih seperti beriktikad bahawa zat Allah SWT bersemayam di atas langit, Allah SWT punyai tangan hakiki, Allah SWT bersifat turun dan pelbagai ayat lagi yang mutasyabih. Bahkan dengan bangganya mengatakan bahawa kamilah sebenar – benar iktikad seperti mana generasi para sahabat.

Ingatlah wahai saudara ku, sesungguhnya iktikad sebegini bukanlah iktikad generasi salaf, dan bukan juga ulama – ulama khalaf. Iktikad ASWJ tidak menyamakan Allah SWT dengan makhluk. Tidak mengambil makna zahir ayat mutasyabih. Akidah generasi para sahabat, dan juga para ulama-ulama khalaf amat luhur dan suci dari menyamakan Allah SWT dengan makhluknya.

Sekiranya akidah para pejuang Agama Allah masih lagi berlandaskan fahaman baru ini, makan pertolongan Allah tidak akan sampai kepada mu, bahkan makin jauh. Sesungguhnya dakwah para Rasul yang utama ialah mengesakan Allah SWT. Nabi Muhammad S.A.W menanamkan akidah yang sahih selama 13 tahun di dada para sahabat, sebelum terbinanya Madinah Munawwarah yang terlaksananya segala hukum – hakam di dalam al Quran secara lengkap.

Marilah sama – sama perbetulkan, serta pasakkan akidah yang sahih sedalam – dalamnya agar kemenangan yang Allah janjikan semakin hampir. Akidah adalah tonggak perjuangan, perjuangan bukanlah sekadar untuk hukum hudud sahaja, bahkan mencakupi Iman, Islam dan Ihsan.

Sekiranya kita tidak berubah, tidak membetulkan akidah yang merupakan tonggak perjuangan, nescaya Allah SWT akan menggantikan dengan generasi lain yang sahih akidahnya.

Pendek kata, menuntutlah ilmu pada ahlinya, pada mereka ulama yang benar-benar ilmunya berlandaskan ASWJ, kerana dunia sekarang, ramai yang tertipu dengan 'title' ulama, walhal dialah 'ulama' yang merosakkan ummah dengan ilmunya yang sesat dari landasan ASWJ.

Perangilah serta perjuangkanlah medan dalam diri kita dahulu, yang masih diselubungi kegelapan kesesatan akidah yang tidak berpaksikan akidah ASWJ. Pabila diri kita disinari dengan cahaya nur akidah yang sahih, nescaya pertolongan serta pimpinan dari Allah SWT akan tiba. Dan nescaya juga, syariat serta akhlak islamiah akan mewarnai kehidupan masyarakat di negara kita.

"Tingkatkan ribat kesatuan akidah, menentang musuh Allah".

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.

waAllhua'lam

[+/-] Selengkapnya...

Mengapa Parti Islam Kalah?

Catatan Oleh: .::.anNaQshY.::. | Sunday, February 26, 2006 | | 2 Komen »

Bismillahirrahmanirrahim…

Pada 15 Januari 2006 yang lepas, aku terbaca di satu sudut di dalam akhbar Mingguan Malaysia. Di kolum Politik Minggu Ini bertajuk; Shahnon: Kenapa parti Islam kalah.

Aku simpan artikel tersebut dengan niat untuk dimasukan ke dalam blog aku. Tangguh punya tangguh, sehinggalah hari ini aku berkesempatan menaip untuk dimasukan ke dalam blog.

Aku ambil sedikit petikan tersebut.

Bekas ahli Parlimen Pas itu menyentuh sedikit soal politik dalam tulisanya bertajuk Terima Kasih A. Samad Saiddalam ruangannya Pabila Hujan Turun.

Shahnon yang tidak lagi aktif dalam Pas menyingkap kembali sebuah buku yang dihadiahkan oleh rakannya yang juga Sasterawan Negara, A. Samad Said. Buku tersebut bertajuk Mengapa Partai Islam Kalah?, susunan Hamid Basyaib dan Hamid Abidina. Buku itu mengandungi karangan-karangan daripada golongan intelektual – politikus Indonesia, umpamanya Gus Dur, Deliar Noer, Amien Rais, Hamzah Has, Nurcholish Mahjid, Kuntowijoyo, Yusril Ihza Mahendera dan banyak lagi.

Mencabar

Keseluruhannya, buku itu membicarakan mengapakah parti politik Islam di Indonesia yang rakyatnya 90 peratus Muslim kalah dalam pilihan raya yang lalu.

"Saya sedar bahawa A. Samad Said memberikan saya buku itu bagaikan sengaja hendak mengusik saya atau cuba hendak mencabar saya; malah dalam buku itu sengaja mencatat nama saya sebagai "Yang Berhormat", tulis Shahnon.

Disebabkan Shahnon berjanji tidak akan menyentuh perihal politik secara langsung dalam ruangan tersebut beliau menjawab secara ringkas yang disifatkan sebagai sepotong ayat.

Begini jawapannya: "Parti Islam kalah di Indonesia dan juga di sini, kerana tonggak perjuangannya tidak punyai substantif lagi, tidak punyai ketaqwaan dan keimanan sebagai landas perjuangan; malah sebaliknya acap dirongrong oleh kuasa, harta, nama dan dunia. Politik parti Islam sekarang ini bukan sekadar mempersendaguraukan ketaqwaan, malah lebih teruk lagi memperkaskaskan ketaqwaan."

Jadi, apa pandangan kalian?

waAllhua'lam.

[+/-] Selengkapnya...

Ijtihad Sahabat

Catatan Oleh: .::.anNaQshY.::. | Thursday, February 23, 2006 | | 3 Komen »

Bismillahirrahmanirrahim…

Alhamdulillah, setinggi-tinggi pujian dikembalikan pada Allah SWT, dengan izin dan kasih sayangnya diberikan kesempatan untuk beribadah padaNya dengan kenikmatan iman, yang tidak sekali-kali boleh diwarisi kepada anak, mahupun orang yang tersayang. Semoga dengan kenikmatan yang telah dianugerah oleh Allah taala ini, dipertingkatkan nilai syukur di dalam kehidupan seharian.

Tahun sudah masuk 1427 hijriah. Semakin meningkat angka tahun hijriah ini secara automatik menandakan betapa kita semakin hari semakin jauh dengan kurun junjungan besar Nabi Muhammad Sallahu'alaihiwasalam. Semakin jauh kita dengan Nabi, maka bermakna dunia kita semakin hampir berlakunya kiamat yang telah dijanjikan Allah SWT. Akhir zaman ini, berlakunya banyak kepincangan dalam dunia Islam, dek kerana sikap kita yang semakin hari semakin dibuai mimpi kenikmatan dunia yang dah semakin 'nyanyuk'.

Perkara-perkara khilaf di kalangan ijtihad ulama silam semakin galak digembar-gemburkan. Semakin rancak dipertikaikan dengan tanpa disedari menjadi salah satu penyebab lemahnya perpaduan di kalangan ummat Nabi Sallahua'alaihiwasalam. Ada sesetengah hamba Allah semakin seronok dengan tipu daya ini, beranggapan inilah perjuangan paling aula, melupakan perkara yang disepakati, beranggapan remeh untuk bersatu padu menentang kemaraan kuffar laknatullah.

Tutor saya pernah berkata di dalam satu interaksi kumpulan. Katanya "mereka ini (bukan Islam) tidur lain-lain bantal. Tapi bermimpikan perkara yang sama." Seperti di sebut di dalam al Quran, kaum kuffar akan bersatu untuk menentang Islam. Tapi sayangnya, segelintir dari kita masih lagi enak tidur bermimpikan perkara khilaf untuk dijadikan modal tulisan serta bahan perbincangan seharian kehidupan.

Mari kita renung serta berfikir bertanya, wujudkah perselisihan di kalangan para sahabat dalam memahami kalam Rasulullah Sallahua'alaihiwasalam? Jawapanya, ada. Di kalangan sahabat, yang hidup berdepan dengan Nabi sendiri berlaku perselisihan di kalangan mereka dan berlaku ijtihad para sahabat seperti mana disebut dan difahami di dalam sebuah hadith yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari:

لا يصلي أحدكم إلا في بني قريضة

Maksudnya: Jangan bersembahyang seorang kamu melainkan di Bani Quraizah.

Sebahagian sahabat memahamkan perkataan itu menurut hakikat larangannya lalu menta'khirkan sembahyang 'Asar itu selepas Maghrib. Dan ada sebahagian yang lain tidak memahamkan demikian, mereka memahamkan bahawa yang dimaksudkan Nabi bercepat-cepat pergi ke Bani Quraizah. Kerana itu mereka mengerjakan sembahyang 'Asar pada waktunya, sebelum tiba ke Bani Quraizah.

Kedua-dua perbuatan sahabat yang berlainan oleh berlainan ijtihad sampai kepada Nabi beritanya, dan Nabi tinggal berdiam diri tidak membantah apa-apa.

Kawan-kawan, dari hadith di atas, kita fahami bahawa, perkara khilaf ini berlaku sejak 1400 tahun dahulu lagi. Sejak para sahabat masih lagi hidup bersama-sama ngan Nabi.

Para sahabat semestinya berkemampuan berijtihad, begitu juga dengan imam-imam mazhab yang empat. Berbeza jauh dengan kita, dan semestinya kita berkewajipan untuk mengikut ijtihad ulama tersebut, bukan bercampur-aduk ijtihad 4 mazhab tersebut, bahkan sepertimana di ketahui, kita memilih mazhab as Syafie sebagai pegangan penyelesaian persoalan ibadah seharian kita.

Oleh yang sedemikian, sedarlah wahai kalian, tinggalkan mimpi indah seorang diri yang tersenyum dikala lena dengan bermimpikan perkara khilaf, tinggkatkan ribat kesatuan akidah untuk menghadapi musuh-musuh Islam yang sedang bersatu padu mengumpul kekuatan menyerang ummat Islam. Sedarlah, tanpa disedari dek kerana mimpi, kalian adalah ejen-ejen membantu musuh Allah untuk melemahkan kesatuan Ummat Nabi Sallahua'alaihiwasalam.

Tingkatkan ribat kesatuan akidah, menentang musuh Allah.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.

waAllhua'lam.

[+/-] Selengkapnya...