10 Hari Terakhir

Catatan Oleh: .::.anNaQshY.::. | Saturday, September 20, 2008 | , , | 1 Komen »

بسم الله الرحمن الرحيم

Sama ada sedar atau tidak, sudah 20 hari telah berlalu kita menempuh bersama merebut rahmat Ilahi dalam Bulan Ramadhan. Seperti yang disebut oleh Imam al Ghazali berkenaan kesempurnaan puasa; Kemudian selepas berbuka, hati bergantung gentar antara rasa takut dan harap. Kerana, tiada tahu amalan puasa siang harinya, sama ada diterima atau pun tidak. Oleh yang sedemikian adalah diharapkan hati-hati kita, sentiasa bergantung gentar antara rasa takut dan harap, moga Ramadhan yang ditempuh pada tahun ini mendapat ganjaran sesempurnanya dari Ilahi.

16 September telah berlalu, abaikan apa yang diharapkan berlaku kerana tidak berlaku pada hari tersebut. Melainkan angan-angan Mat Jenin. Seharusnya, kita selaku Muslim yang punyai akidah yang satu, Kaabah yang satu, Kiblat yang satu melupakan seketika 'peperangan saraf' untuk merebut pemerintahan secara drastik. Hendaklah kita saling berlumba-lumba untuk merebut rahmat Ilahi di akhir 10 Ramadhan, kerana belum ada jaminan untuk diberi peluang pada Ramadhan yang akan datang.

Hendaklah Ramadhan yang sedang ditempuh ini, diberi penghormatan akan ketenangan dan keamanan, tanpa kecelaruan drastik yang tidak memberi faedah terhadap amalan Ramadhan yang sedang dilalui.

Nabi Muhammad SAW seperti yang deceritakan oleh Saidatina 'Aisah RHA; adalah Nabi SAW beri'tikaf ia pada sepuluh hari yang akhir daripada Ramadhan dan telah bersabda Nabi SAW tuntutlah dengan sesungguhnya oleh sekalian kamu akan Malam Lailatul Qadr pada sepuluh yang akhir daripada Ramadhan.

Telah berkata Imam an Nawawi RahimahuLLah di dalam Majmu'; bermula Malam Lailatul Qadr itu ialah malam yang mempunyai kelebihan. Telah berfirman Allah SWT أنا أنزلناه في ليلة القدر bermaksud bahawa sesunguhnya telah Kami turunkan Quran itu pada Malam Lailatul Qadr. Telah berkata ashab kita dan lain-lainnya, Lailatul Qadr itu ialah malam yang lebih afdhal daripada segala malam dalam setahun. Dalilnya ialah firman Allah SWT ليلة القدر خير من ألف شهر bermula Malam Lailatul Qadr itu lebih baik berbuat ibadah di dalamnya lebih daripada seribu bulan yang tiada di dalamnya Lailatul Qadr.

Telah berkata Imam an Nawawi RahimahuLLah bermula Malam Lailatul Qadr itu hanyasanya untuk Ummat Nabi Muhammad SAW sahaja, tiada diberikan kepada ummat sebelum ini. Sebab dinamakan Lailatul Qadr itu kerana maknanya malam itu ditentukan bagi segala Malaikat akan segala Qadr, rezeki dan ajal yang ada di dalam tahun itu seperti firman Allah Taala فيها يفرق كل أمر حكيم di dalam Malam Lailatul Qadr itu dizahirkan bagi segala Malaikat yang diwakilkan memerintah di dalam alam tiap-tiap pekerjaan yang muhkam, iaitu yang tiada berubah dan tiada kurang daripada rezeki, ajal dan lain daripada keduanya pada tahun itu sehinggalah Malam Lailatul Qadr yang akan datang. Firman Allah Taala تنزيا الملائكة والروح فيها بإذن ربهم من كل أمر

Imam an Nawawi juga berkata, bermula Malam Lailatul Qadr itu berkekalan hingga Hari Kiamat. Maka sunat dituntut dengan bersungguh-sungguh hati kerana bahawasanya Rasulullah SAW adalah bersungguh-sungguh menuntut Malam Lailatul Qadr di dalam sepuluh malam yang akhir daripada Ramadhan dan bahawasanya Nabi SAW apabila masuk sepuluh malam terakhir Ramadhan, berjaga Nabi SAW dan mengajak ahlinya supaya berjaga daripada tidur dan berseungguh-sungguh menghidupkan malam tersebut.

Bermula Mazhab as Syafie dan jumhur ashabnya bahawasanya Malam Lailatul Qadr itu tersimpan di dalam sepuluh yang akhir daripada Ramadhan, kesamaran ke atas kita. Dan tetapinya jatuh Malam Lailatul Qadr itu tiada keluar daripada sepuluh yang akhir daripada Ramadhan. Maka sentiasalah ia demmikian malam hingga Hari Kiamat.

Ayuh... Lupakan sebentar 16 September, 17 atau 18 atau 19 atau 20 atau 21 atau 22, atau 23 kerana bekalan kita di akhirat bukannya 'kuasa pemerintah', tetapi yang digunapakai di akhirat ialah amalan seharian untuk dipersembahkan kepada Rabbul Jalil.

Masih ada harapan buat kita merebut rahmat Ilahi di dalam bulan yang mulia ini...

WaAllahua'lam

[+/-] Selengkapnya...

16 September II

Catatan Oleh: .::.anNaQshY.::. | Friday, September 19, 2008 | , | 0 Komen »

بسم الله الرحمن الرحيم

Menyoroti kembali pandangan peribadi Datuk Mustafa Ali yang telah disiarkan dalam Utusan bertajuk 'Kerajaan baru mungkin tidak berlaku', adalah bertepatan dengan apa yang berlaku pada 16 September yang lepas. Tidak ada kerajaan baru seperti digembar-gemburkan. Bahkan, kredibiliti Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh dipertikaikan.

Ujar Datuk Mustafa Ali:

Jelasnya, secara teknikalnya perubahan sesebuah kerajaan tidak boleh dilakukan melainkan jika ada satu undi tidak percaya terhadap kerajaan atau Perdana Menteri dibawa ke Parlimen.

“Ada dua cara sahaja untuk membuat perubahan kerajaan iaitu sama ada Perdana Menteri letak jawatan yang saya percaya tidak mungkin berlaku atau mesti ada satu undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri di Parlimen,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau memberitahu, disebabkan pada 16 September Parlimen tidak bersidang, maka undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri tidak boleh dibawa sekalipun terdapat bilangan Ahli Parlimen yang mencukupi untuk membolehkan sesiapa yang mengusahakan perubahan itu mahu menubuhkan kerajaan baru.


Saya tetap beranggapan, ujar Datuk Mustafa itu ada benarnya berdasarkan fakta yang beliau kemukakan. Dan saya juga tetap mengatakan bahawa MP BN yang 'lompat' parti untuk bersama Pakatan Rakyat adalah tidak bermaruah sama sekali. Orang yang tidak tetap pendirian dan tidak bermaruah tidak selayaknya menjadi pemimpin dalam masyarakat. Begitu juga orang yang menghasut dan bersekongkol dengannya agar 'lompat' parti adalah tidak layak memimpin negara. Bak kata TG Nik Aziz seperti yang disiarkan dalam BERNAMA:

Bernama 22 Mac 2008 : Lompat Parti Kerja Orang Tak Bermaruah - TG Nik Aziz Nik Mat;

KOTA BAHARU: Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata perbuatan melompat parti hanya dilakukan orang yang tidak bermaruah.

Sehubungan itu, beliau yang juga Mursyidul Am PAS berharap undang-undang untuk menghalang perbuatan itu terutama dalam kalangan ahli politik yang menang pada pilihan raya umum 8 Mac lepas, digubal segera.

“Memang melompat (parti) ni bukan kerja orang politik, kerja orang makan upah… Bukan manusia (kalau) boleh dijual beli ni,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri majlis kesyukuran Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Mohd Zaid Ibrahim di kediamannya di sini, pada hari Sabtu.

Nik Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Mohd Zaid yang menyarankan undangundang anti lompat parti digubal bagi mengelak perbuatan itu berlaku secara berleluasa.

Katanya, beliau sangat bersetuju dengan cadangan seumpama itu bagi mengelak wakil rakyat termasuk daripada PAS berhadapan dengan perkara seumpama itu.

Dalam perkembangan lain, Nik Aziz berharap pemimpin Barisan Nasoinal (BN) kembali bermuhasabah diri bagi melihat punca kekalahan yang dialami dalam pilihan raya umum lepas.


Adalah diharapkan, para pendokong dan penyokong perjuangan Jamaah Islam kembali ke matlamat asas perjuangan. Tidak terikut-ikut rentak parti lain yang hanya mementingkan nafsu untuk memerintah tanpa meletakkan Islam sebagai matlamat utama atau dasar.

Saya memetik kalam TG Haji Hadi Awang semasa berucap di hadapan lebih 5,000 orang pada Majlis Memperingati Nuzul Quran di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut:

ALOR STAR 18 Sept. - Semua ahli Pas diingatkan agar tidak terlalu terbawa-bawa dengan usaha membentuk kerajaan baru sehingga sanggup mengetepikan ideologi parti itu untuk menubuhkan sebuah negara Islam.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, adalah menjadi tanggungjawab pengikut Pas supaya konsisten dengan dasar perjuangan yang berlandaskan Islam dalam apa jua keadaan.

Menurut beliau, ahli-ahli Pas juga perlu mengutamakan pemimpin-pemimpin mereka dengan sentiasa mengikut arahan.

"Kita minta pengikut-pengikut Pas setia kepada perjuangan. Ikut arahan, jangan lari daripada jemaah walau apa sekali pun yang berlaku. Ini tanggungjawab ahli," katanya.

Abdul Hadi turut mengulangi pendirian bahawa Pas tidak akan menyertai kerajaan baru jika ia tidak dipandu oleh Islam.

Beliau menegaskan, perkara berkenaan menjadi syarat utama bagi Pas untuk menyertai perubahan kerajaan dan tidak akan berkompromi mengenainya.

"Walaupun 16 September sudah lepas tetapi kita berusaha nak buat perubahan. Perubahan untuk menukar kerajaan.

"Saya sebut Pas akan menyertai perubahan kerajaan dengan syarat kerajaan baru ini dipandu oleh Islam, dipandu oleh orang Islam. Kalau perkara ini tiada, Pas tidak akan menyertai perubahan itu," tegasnya.


Adalah jelas bahawa matlamat perjuangan Jamaah Islam di Malaysia khasnya adalah Daulah Islamiyah. Matlamat ini tidak akan berubah walaupun pimpinan silih berganti. Berjuang mencari keredhaan Allah SWT adalah asas perjuangan.

Oleh yang sedemikian, tsunami pilihanraya ke 12 yang lalu, menjadi motivasi kepada jamaah untuk terus mengorak langkah kehadapan mendepani politik semasa. Perjuagan PAS selama lebih kurang 50 tahun dalam arus politik negara, sewajarnya mematangkan gerak geri PAS. Seharusnya, PR mengetepikan kepentingan peribadi untuk mengubah secara drastik kerajaan sekarang dan memberikan tumpuan kepada kerajaan negeri yang ditadbir oleh PR. Laksanakan manifesto yang dijanjikan, usah terlalu 'kegilaan' bak 'gila talak' untuk meruntuhkan kerajaan secara tidak bermaruah.

Jadilah pembangkang yang dihormati dan disegani lawan, bukan pembangkang yang kehilangan maruah dek kerana nafsu serakah. Rakyat mengintai dan melihat, mahukan keamanan dan keperluan sebagai rakyat yang diperintah dipelihara. Sudah naik muak dengan tingkah laku kartun dari kalangan ahli politik yang amat merugikan bangsa dan negara.

Buktikan bahawa pentadbiran PR di beberapa buah negeri mementingkan kesyumulan Islam. Sekiranya Islam itu tidak boleh menjadi tunjang kepada pemerintahan PR, ini memburukkan lagi PR lebih-lebih lagi tempiasnya mengenai hala tuju PAS sebagai Gerakan Islam dalam Pakatan Rakyat.

Bak kata hasrat Dr Burhanuddin:

”Dalam perjuangan kita (PAS) bagi mencapai kemerdekaan, kita telah dan terus menerus memperjuangkan Melayu itu sebagai kebangsaan bagi negara Tanah Melayu ini dengan bertapak di atas asas ideologi Islam yang maha suci"


Agak menarik diperkatakan, adakah Parti Keadilan Rakyat yang ahlinya dari pelbagai agama dan bangsa berpaksikan Islam sebagai perjuangannya? Dan saya yakin, tentu kalian akan katakan tidak.

Tertarik kata YB Zulkifli Nordin setelah dipanggil Jawatankuasa Disiplin kerana penglibatan beliau dalam Himpunan Aman Umat Islam membantah forum anti Islam anjuran Bar Council pada 7 Sya'ban lepas. Katanya:

Saya nyatakan bahawa nothing can stand between me and Islam. Saya mungkin bukan Muslim yang terbaik, namun saya bersedia melakukan yang terbaik untuk Islam.

Malahan saya menyatakan dengan jelas bahawa selain menjaga kebajikan rakyat dan pengundi saya di Kulim Bandar Bharu, misi utama saya sebagai Ahli Parlimen adalah untuk berusaha untuk memartabatkan dan menobatkan Islam, syariat dan institusinya melalui constitutional reform, sebagaimana yang dicadang dan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam beberapa keputusan sebelum daripada ini.

Ahli panel ada menyebut kemungkinan prinsip dan pendirian saya ini akan bercanggah dengan pendirian PKR.

Saya mengulangi pendirian dan prinsip saya bahawa 'for me, Islam come first, the rest are second'.


Secara jelas AJK Disiplin PKR terdiri daripada 3 ahli panel iaitu Tuan Syed Hussin Ali (Timb. Pres), Tuan Din Marican dan YB Hee mengatakan bahawa kemungkinan prinsip dan pendirian YB Zulkifli ini akan bercanggah dengan pendirian PKR.

Jadi, pemimpin parti ini kalian harapkan untuk mamacu ummah?

WaAllahua'lam

[+/-] Selengkapnya...

16 September

Catatan Oleh: .::.anNaQshY.::. | Wednesday, September 17, 2008 | , | 0 Komen »

بسم الله الرحمن الرحيم

Ketika ini, tarikh menunjukkan 17 September 2008. Sehari telah berlalu. Tarikh 'keramat' 16 September yang ditunggu-tunggu, tidak menghasilkan apa yang diduga.

Sedih dan terkilan. Mungkin 2 kalimah ini sesuai untuk saya gambarkan perasaan di dalam dada. Sedih bukan kerana tidak berlakunya peralihan kuasa, sedih bukan kerana kerajaan BN tidak dapat ditumbangkan, tetapi sedih kerana suasana orang-orang politik yang perilakunya menghiris sanubari saya.

Terkilan, terkilan bukan kerana Anwar Ibrahim belum kesampaian menjadi PM Malaysia yang ke enam, tetapi terkilan kerana isu Anwar dan 16 Septembernya menjadikan 'rumah tangga' gerakan Islam PAS menjadi kucar kacir.

Saya amati tulisan TG Haji Nik Aziz (jika benar keaslian tulisan beliau). Isu teguran secara terbuka tehadap Dato Mustafa Ali amat menjadikan saya keliru bertambah sedih. Benarkah manhaj teguran TG Nik Aziz begitu?

6. Apa tujuan kita adakan kursus, seminar, ceramah, tamrin, usrah, doa, sembahyang hajat, munajat, pagi, petang, siang dan malam kalau tidak kerana untuk menumbangkan sebuah pemerintahan yang tidak cenderung kepada Islam. Jika Umno hendakkan Islam, sudah lama dia laksanakan Islam.


Kita sebulat hati bersetuju bahawa kepimpinan UMNO perlu ditukar kerana UMNO tidak menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan. Tapi, saya yakin dan amat yakin bahawa PKR dan DAP yang menjadi rakan PAS dalam Pakatan Rakyat juga tidak ingin sesekali menjadikan Islam sebagai asas dalam pemerintahan, bahkan amat mustahil mereka akan menjadikan Malaysia sebagai Daulah Islamiyah.

Jika Anwar Ibrahim ingin melakukan perubahan dalam kerajaan, saya rasakan sudah lama beliau boleh lakukan semasa beliau menjadi ahli kabinet dalam kerajaan.

Kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat perlu di kaji. Kemenangan Pakatan Rakyat di negeri Perak dan juga Selangor, adakah ianya menjadi titik kemenangan Islam untuk memerintah di negeri tersebut. Atau PAS hanyalah sekadar 'kuda tunggangan' untuk memenuhi selera nafsu rakus perseorangan untuk memerintah.

Saya tak dapat jawapan, kenapakah beriya-ria TG Nik Aziz mempertahankan dan menonjolkan idealisme Anwar sebagai pemimpin, mengetepikan pandangan pemimpin veteran PAS yang sudah sebati perjuangannya di dalam PAS.

Mungkin, di dalam senarai pemimpin PAS, ada manusia yang berwatakan 'munafik' yang ingin menjahanamkan saf perjuangan PAS, mengadu domba untuk melaga-lagakan saf pimpinan. Ini tidak mustahil kerana musuh dalam selimut lebih bahaya dari musuh yang terang-terangan di hadapan kita.

Dasar Islam tak kan sesekali boleh bersama dasar sosialis, libral dan lebih-lebih lagi DAP yang terang-terangan menolak Islam.

Lebih baik kita 'berbantal'kan UMNO yang seakidah dengan kita, dari DAP atau PKR yang secara nyata tidak ingin sesekali melaksanakan Islam sebagai teras pemerinthan.

Saya tetap berpegang dengan firman Allah SWT di dalam al Quran yang membawa maksud: “ Dan tidak akan sesekali redha yahudi dan nasara kepada kamu selagi kamu tidak mengikuti apa yang mereka katakan”.

Saya tidak mengharapkan perubahan drastik pemerintahan kerajaan sekarang, tetapi saya mengharapkan PAS selaku gerakan dakwah yang utamanya melakukan perubahan dan muhasabah hala tuju PAS dalam arena politik negara.

Saya amat bersetuju kalam TG Haji Hadi Awang:

"Kami rela kalah kerana melaksanakan Islam, kita rela ditolak rakyat kerana melaksanakan suruhan Allah, apalah ertinya sebuah pemerintahan tanpa mendapat redha Allah"


Lebih baik bermuqabalah dengan UMNO, dari bersahabat dengan PKR dan DAP yang secara terang menolak sistem pemerintahan Islam.

"Majlis Syura Ulama yang bersidang pada 23 April, 2008 mengambil ketetapan bersetuju sebulat suara merestui Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung parti bagi mempertingkatkan usaha yang bersungguh-sungguh untuk menyatupadukan umat Islam dan rakyat Malaysia."


Ayuh, sudah masanya umat Islam bersatu padu mendaulatkan Islam, mush Islam sentiasa mengintai-intai keretakan saf perpaduan sesama Islam. Mari rapatkan saf, betulkan saf, bersama Imam yang boleh membawa kita kepada Redha Allah.

WaAllahua'lam

[+/-] Selengkapnya...

Niat Puasa III

Catatan Oleh: .::.anNaQshY.::. | Sunday, September 14, 2008 | | 0 Komen »

بسم الله الرحمن الرحيم


Niat puasa ramadhan kanak-kanak.

Kata Imam an Nawawi di dalam Majmu', tiada sah puasa kanak-kanak yang mumaiyyiz pada puasa ramadhan melainkan dengan niat pada malam hari jua sebagaimana telah dikatakan Sohibul Muhazzab - tiada sah puasa ramadhan daripada seseorang melainkan dengan niat pada malam hari, dan tiada sah puasa wajib melainkan dengan niat pada malam hari.

Bermula niat pada malam hari, telah berkata Imam an Nawawi di dalam syarah al Muhazzab - sah niat pada malam hari itu, antara masuk matahari dan terbitnya fajar. Berkata juga al Mutawalli dan lainnya; maka jikalau berniat puasa seorang pada sembahyang maghrib, nescaya sah juga niatnya.

WaAllahua'lam

[+/-] Selengkapnya...

Niat Puasa II

Catatan Oleh: .::.anNaQshY.::. | Tuesday, September 09, 2008 | | 0 Komen »

بسم الله الرحمن الرحيم

Niat puasa itu, wajibkah setiap hari?

Telah berkata Imam an Nawawi RahimahuLLah Taala, wajib niat puasa itu tiap-tiap hari sama ada puasa ramadhan atau lainnya. Maka, ini tiada khilaf padanya di sisi kita.

Maka, jikalau berniat pada awal malam daripada ramadhan dengan niat sebulan puasa ramadhan, nescaya tiada sah ini niat lain daripada hari yang pertama sahaja. Bahkan, sahnya niat pada hari pertama itu ada khilaf padanya. Maka yang mazhabnya ialah sah baginya.

Kitab Majmu' Imam an Nawawi; jilid 6 muka surat 302 Maktabah al Irsyad, Jeddah.

WaAllahua'lam

[+/-] Selengkapnya...

Niat Puasa

Catatan Oleh: .::.anNaQshY.::. | Monday, September 08, 2008 | | 0 Komen »

بسم الله الرحمن الرحيم

Daripada Hafsah daripada Nabi SAW sabdanya; barangsiapa tidak berniat melakukan puasa sebelum fajar maka tidak ada puasa baginya.

Sohih, at Turmuzi.

Hukum niat puasa.

Tidak dikatakan berpuasa seseorang itu sekiranya tidak berniat puasa dahulu daripada terbit fajar dalam bulan ramadhan.

Sekiranya puasa nazar, tidak berniat pada malamnya, tidak memadai juga.

Adapun puasa sunat, iaitu harus baginya berniat selepas subuh hari. Maka inilah qaul Imam as Syafie, Ahmad dan Malik.

Telah berkata Imam an Nawawi di dalam Syarah al Muhazzab; telah berkata Imam as Syafie dan al ashab rahimahumuLLah Taala, tiada sah puasa ramadhan dan tiada yang lainnya daripada segala puasa yang sunat dan wajib melainkan dengan niat. Ini tiada khilaf padanya di sisi kita.

Maka, tiada sah puasa melainkan dengan niat. Tempat niat itu di dalam hati, maka tiada syarat tutur dengan lidah dengan tiada khilaf. Memadai niat di dalam hati sahaja dengan tiada khilaf, hanya berlafaz itu disunatkan beserta hati.

Bersambung...

WaAllahua'lam

[+/-] Selengkapnya...

Sufi

Catatan Oleh: .::.anNaQshY.::. | Monday, September 08, 2008 | , | 0 Komen »

Sufi selangkah tirai kasihmu ku buka
Engkau serahkan cinta hingga dirimu tiada
Kasih sufi kau rela pilih derita di dunia
Biar rebah di hina kau tak berubah

Kau menguasai selautan
Yang tersembunyi di genggaman
Nafi dan isbat kau sandingkan
Sebagai tali pegangan

Sufi kau hilang di pandangan
Ada di dalam kenikmatan
Engkau dan dia pasti tidak akan terpisah
Andai tertutup tirai sufi
Yang terang tidak nampak terang
Inilah siksa menyakitkan sepanjang jalan

Inginku tempuh titianmu
Dari kekasih ke kekasih
Pengabdianku bersamamu kasih
Biar rebah di hina kau tak berubah

WaAllhua'lam.

[+/-] Selengkapnya...

Kesempurnaan Puasa

Catatan Oleh: .::.anNaQshY.::. | Friday, September 05, 2008 | , | 0 Komen »

بسم الله الرحمن الرحيم

Telah berkata Imam al Ghazali di dalam Ihya' 'Ulumuddin: Kesempurnaan puasa ialah:

1. Memejamkan mata daripada berbuat maksiat.

2. Memelihara lidah daripada berbuat maksiat.

3. Menjauhkan telinga daripada mendengar maksiat.

4. Menegahkan anggota badan dari melakukan maksiat.

5. Jangan banyakkan makan ketika berbuka.

6. Kemudian selepas berbuka, hati bergantung gentar antara rasa takut dan harap. Kerana, tiada tahu amalan puasa siang harinya, sama ada diterima atau pun tidak.

WaAllahua'lam.

[+/-] Selengkapnya...