Roda Kehidupan

Catatan Oleh: .::.anNaQshY.::. | Sunday, December 21, 2008 | , , | 0 Komen »

بسم الله الرحمن الرحيم

Sementara menunggu untuk pemeriksaan kesihatan di sebuah klinik di Pekan Jitra lama, sempat saya membaca akhbar Siasah yang disediakan. Saya tidak ingat bilakah keluarannya. Saya menyelak membaca berita yang dipaparkan dan terhenti di satu laman yang ditulis oleh lanh14. Isi kandungannya amat menyentuh hati saya dan di sini saya paparkan kembali apa yang telah ditulis oleh beliau.

Tajuknya, saya tak ingat, barangkali kata-kata hikmah seorang ulama yang bernama Tuan Guru Haji Ghaus Mamat. Catatan tersebut yang sempat saya catatkan ialah:

Manusia sentiasa berada dalam roda kehidupan. Ada kala di atas, ada kala di bawah. Mereka tidak dapat lari mendapat nikmat, mendapat kecelakaan, melakukan kebajikan dan membuat kejahatan. Tingkah laku orang beriman sangat menghairankan kerana jika mendapat nikmat dia bersyukur. Jika ditimpa kecelakaan dia bersabar, jika melakukan kebajikan dia bersyukur dan apabila tersilap dia menyesal. Ringkasnya, dia sentiasa tenang menjalani pancaroba kehidupan.


Kata-kata ini amat mendalam bagi saya dan saya rasakan wajar untuk diabadikan dalam blog ini untuk tatapan bersama.

Itulah kehidupan; sewajarnya, seorang mukmin tidak wujud istilah stress atau tension dalam diari kehidupan. Kita adalah hamba padaNya, selayaknya seorang tuan memperlakukan apa jua terhadap seorang hamba.

Apa jua yang berputar dalam kehidupan kita, tentunya wujud hikmah yang perlu dicungkil. Kerana, semuanya datang dari Nya yang Maha Bijaksana.

Marilah kita mengejar status sebagai 'hambaNya'; gelaran yang tidak perlu berlumba-lumba untuk mengejarnya. Terbuka kepada semua, jika kita mengejar status, gelaran atau pangkat duniawi belum tentu ia milik kita bahkan ianya bersifat sementara dan semestinya perlukan saingan yang boleh menyebabkan kerosakan hati.

WaAllahua'lam

0 Komen