Resolusi Muzakarah Ulama'

Catatan Oleh: .::.anNaQshY.::. | Friday, July 21, 2006 | 0 Komen »

بسم الله الرحم الرحيم

Resolusi Muzakarah Ulama'

19 Jamadil Akhir 1427 H / 15 Julai 2006.
Taman Siswa Bandar Darulaman Jitra Kedah Darul Aman.


“Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu menjadikan pemimpin mu orang-orang yang membuat agama mu jadi bahan ejekan dan permainan, (iaitu) di antara orang-orang yang telah diberi kitab sebelum mu dan orang-orang kafir (musyrik. Dan bertakwalah kepada Allah jika kamu orang-orang beriman.”
( Surah Al Maidah 57 )

Menyedari bahawa ulama, umara dan seluruh umat Islam menanggung jawab amanah berat mempertahan, memperkukuh dan mengembangkan Akidah seluruh umat manusia.

Menginsafi bahawa Islam dan umat Islam kini sedang menjadi sasaran golongan anti Islam melalui pelbagai strategi dan penggemblengan, sumber di peringkat nasional dan antarabangsa. Konspirasi mengembangkan sentimen íslamophobia” (imej Islam menakutkan) sedang digerakkan di seluruh dunia dengan tujuan untuk melumpuhkan kekuatan umat Islam.

Menginsafi bahawa gejala murtad adalah suatu jenayah syariah yang sangat serius dan seluruh ulama, umara dan masyarakat Islam perlu mengguna seluruh kekuatan untuk membanteras gejala ini sehingga ke akar umbi.

Mengambil perhatian serius terhadap kewujudan pihak tertentu yang berusaha untuk memberi hak murtad secara bebas kepada semua atas nama hak perlembagaan melalui pentafsiran atau pindaan undang-undang.


Maka Muzakarah Ulama’ anjuran Persatuan Ulama’ Kedah dan Jabatan Mufti Negeri Kedah pada hari ini 19 Jamadil Akhir 1427 Hijrah / 15 Julai 2006 Masihi yang dihadiri seramai 150 orang peserta di Taman Siswa Bandar Darul Aman Jitra Kedah Darul Aman telah merumuskan resolusi berikut:


1. Merayu agar Majlis raja supaya mengambil perhatian berat terhadap usaha pihak-pihak yang mahu menggunakan perlembagaan Persekutuan untuk membenarkan hak-hak murtad di luar bidang kuasa Mahkamah Syariah. Majlis Raja-raja adalah pihak berkuasa tertinggi agama Islam di negara ini. Sebarang percubaan menjejaskan status Islam melalui undang-undang atau apa-apa saluran sekalipun adalah usaha mencabar kuasa Raja-raja sekali gus mencabar undang-undang negara.

2. Sebuah Akta Mahkamah Persekutuan perlu digubal untuk membicarakan konflik mengenai isu-isu yang tidak jelas bidang kuasa Mahkamah dan anggota Hakim perlu terdiri dari kalangan Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan dan bekas Ketua Hakim Syariah.

3. Pihak-pihak berkuasa agama di peringkat negeri hendaklah mempertahankan status syariah. Sebarang usaha untuk memindahkan peruntukan dalam Perlembagaan melalui parlimen supaya bidang kuasa agensi-agensi Islam termasuk Mahkamah Syariah berada di bawah undang-undan sivil adalah suatu usaha menafikan hak umat Islam mengguna pakai undang-undang syariah sebagai undang-undang tertinggi.

4. Segala penggubalan dasar negara perlulah mendapat nasihat para ulama sebelum diluluskan dan dilaksanakan. Dasar-dasar yang dimaksudkan di sini ialah segala dasar yang boleh mempengaruhi kepentingan dan kelangsungan hidup negara masa kini dan masa depan seperti dasar pendidikan, dasar bahasa, dasar yang menyentuh media cetak dan media elektronik, dasar penerangan dan penyiaran yang melibatkan dunia hiburan, seni lakon, seni suara, dasar keselamatan dalam negara dan luar negara, dasar yang berkaitan perundangan dan badan kehakiman dan sebagainya.

5. Pihak berkuasa perlu berhenti menyediakan prasarana gejala sosial dan persekitaran yang menjurus kepada maksiat. Pusat-pusat hiburan yang menyediakan ruang untuk melakukan maksiat wajib ditutup. Kerana kerosakkan pada akhlaq manusia akan menambahkan beban negara.

6. Pihak berkuasa perlu mendaulatkan semula peraturan Islam di dalam semua sudut kehidupan manusia. Kebaikan dan kebahagiaan yang dihasilkan oleh peraturan Islam adalah untuk dimanfaatkan dan dinikmati oleh golongan Islam dan bukan Islam.

7. Segala program dan perancangan oleh pihak pemerintah dan juga pihak lain, lebih-lebih lagi yang melibatkan kepentingan golongan remaja dan belia, hendaklah menjurus kepada pengukuhan iman, pembinaan akhlak dan pemuliharaan jati diri bahasa, bangsa dan negara.

8. Segala rancangan TV, radio, seni lakon, seni suara, seni tari, filem, konsert dan lain-lain bentuk hiburan perlu mendapat kelulusan atau nasihat majlis ulama sebelum dipersembahkan kepada orang ramai.

9. Ulama’ harus kembali kepada peranannya untuk mendidik dan mentarbiahkan umat supaya terbentuk suatu jemaah yang memahami dan menghayati ajaran Islam serta melaksanakannya di dalam kehidupan di semua peringkat.

10. Para Ulama’ perlu bersatu dalam perasaan, fikrah dalam persatuan dan persaudaraan. Justeru, majlis-majlis seperti muzakarah, multaqa, nadwah, munaqasah, dialog dan sebagainya perlu diperbanyakkan untuk membentuk suatu kumpulan yang berpengaruh untuk menghadapi.

11. Umat Islam perlu peka dan waspada terhadap cabaran aliran pemikiran Islam semasa atau yang diwarisi dari zaman silam dan beberapa aliran pemikiran moden hasil asakkan globalisasi dan di bawa masuk ke dalam masyarakat Islam. Aliran pemikiran sekular yang menguasai pendidikan, perundangan, pentadbiran dan sebagainya perlu ditolak. Pluralisme agama, Islam Liberal perlu dikaji dan di tolak dengan cara melengkapkan diri masing-masing dengan ilmu keislaman dan semasa yang secukupnya. Lanjutan dari itu terus beristiqamah dan menghayati pemikiran Islam yang sebenar berasaskan al-Quran dan as-Sunnah

12. Untuk mempertahankan status Islam dalam perlembagaan dan memperkasa ummah menghadapi ancaman murtad dan sebagainya. Umat Islam mesti bangun mempertahankan agamanya daripada segala unsur melalui pelbagai saluran termasuk politik dan perundangan, atau mengadu kepada majlis Raja-raja Melayu yang mempunyai kuasa untuk mempertahankan agama Islam daripada tindakan kezaliman musuh-musuhnya.

Penutup

Penghargaan dan terima kasih khusus kepada Sahibul Samahah Datuk Paduka Sheikh Hasbullah Bin Abdul Halim yang sudi merasmikan persidangan ini. Seterusnya kepada AJK induk dan pelaksana persidangan, Taman Siswa bandar Darul Aman, pembentang kertas kerja, petugas-petugas dan semua pihak, kumpulan dan individu yang turut menjayakan persidangan ini. Terima kasih.

Bagi pihak AJK Muzakarah, Jawatankuasa Resolusi dan peserta.

Syeikh Abu Bakar Awang
Pengerusi Muzakarah Ulama
(Yang Dipertua Persatuan Ulama’ Kedah)

0 Komen