Ramadhan Karim...

Catatan Oleh: .::.anNaQshY.::. | Saturday, September 23, 2006 | 1 Komen »

بسم الله الرحمن الرحيم

Ahlan ya RamadhanRamadhan Karim… Kehadiran Ramadhan disambut dengan perasaan girang, gembira dan penuh kesyukuran bagi mereka yang mengharapkan keampunan dari Rabbul Jalil, yang Maha Pengampun buat hambaNya, yang ikhlas beribadah kepadaNya.

Seperti kebiasaan, amalan utama yang dilakukan oleh umat Islam di kala ini ialah solat tarawih. Kemudian disusuli dengan solat witir sebanyak 3 rakaat. Pada ketika ini, kelihatan ada yang berjemaah solat witir, dan ada juga yang bangun terus pulang tanpa berjemaah solat witir.

Kebiasaannya, mereka yang tidak solat witir berjemaah selepas solat tarawih ialah kerana hendak bangun semula untuk bertahajud di hening hari. Dan mereka akan akhiri solat witir selepas mengerjakan amalan sunat tersebut.

Persoalannya, yang manakah lebih afdal; solat witir berseorangan ataupun berjemaah? Untuk menjawab persoalan itu, mari kita rujuk kalam Imam an Nawawi di dalam kitabnya, al majmuk syarah kepada al Muhazzzab. Telah berkata Imam an Nawawi di dalam kitabnya itu pada muka surat: 509, jilid 3, cetakan al Maktabah al Irsyad.

فرع - إذا استحببنا الجماعة في التراويح استحبت الجماعة أيضا في الوتر بعدها باتفاق الأصحاب، فإن كان له تهجد لم يوتر معهم بل يؤخره إلى آخر الليل كما سبق فإن أراد الصلاة معهم صلى نافلة مطلقة وأوتر آخر الليل، وأما في غير رمضان فالمشهور أنه لا يستحب فيه الجماعة،

Maka, apa yang dapat difahami daripada kata Imam an Nawawi itu bahawasanya apabila solat tarawih itu sunat dilakukan secara berjemaah, maka disunatkan juga melakukan sunat witir secara berjemaah di dalam bulan Ramadhan. Selain dari bulan Ramadhan, tidak disunatkan melakukan solat witir secara berjemaah.

Oleh yang sedemikian, solat witir secara berjemaah di bulan Ramadhan terlebih afdal dilakukan secara berjemaah dari melakukan seorang diri. Kita tunggu la sehingga solat tarawih sampai habis, sampai kita sama-sama lakukan solat witir secara berjemaah.

Mari kita bersama-sama tingkatkan keazaman untuk menambah gandakan amalan sempena Ramadhan yang mulia ini. Jika dulu-dulu buat sekadar 8 rakaat sahaja, apa kata kita tambah nilai menjadi 20 rakaat pula. Moga-moga tinggilah darjat kita di sisi Allah Rabbul Jalil.

WaAllahua'lam

1 Komen

  1. Anonymous // 9:38 AM  

    Terima Kasih ust utk post ini.Alhamdulillah bermanfaat.Teruskan menulis.

    Oh ya ust, kalau ada kelapangan pohon jasa baik ust, tambah or perbetulkan apa-apa di dalam site ana. Moga ada istifadah bersama.InshAllah