Akidah Sahih Tonggak Perjuangan

Catatan Oleh: .::.anNaQshY.::. | Saturday, March 11, 2006 | | 0 Komen »

Bismillahirrahmanirrahim...

Tulisan Shahnon: Kenapa parti Islam kalah pada tarikh yang lalu, aku rasakan perlu untuk kita ingati serta ambil peringatan kepada diri kita yang 'bergelar' pejuang yang inginkan menegakkan kalimah Allah di bumi amnya, dan di tanah air kita khasnya. Sering kali kita dengari faktor-faktor kekalahan Parti Islam di arena perjuangan demokrasi ialah faktor luaran. Sering melontarkan serta meletakkan faktor kekalahan disebabkan perancangan penipuan dari pihak pemerintah.

Mari kita sama-sama renungi firman Allah SWT di dalam surah ali 'Imran ayat 54; maksudnya:

Orang-orang kafir itu membuat tipu daya, dan Allah membalas tipu daya mereka itu. Dan Allah sebaik-baik pembalas tipu daya.

Ayat ini telah menceritakan kepada kita bahawasanya pihak kuffar Bani Israel telah merancang untuk membunuh Nabi Isa 'alaihi salam, dengan kuasa Allah SWT telah menggagalkan perancangan mereka menukar Nabi Isa As dengan salah seorang hawariyyin dan telah mengangkat Nabi Isa As ke langit.

Persoalannya, kenapa perjuangan kita sekarang yang sememangnya berlandaskan al Quran dan as Sunah sering ditumpas dengan perancangan-perancangan pihak musuh Allah SWT? Di manakah silapnya perjuangan sehinggakan perancangan batil pihak musuh dimenangkan Allah? Sedangkan adalah mudah bagi Allah SWT untuk membalas perancangan batil pihak musuh dan memenangkan perjuangan Islam yang diredai Nya.

Mungkin kita terlupa untuk kembali petunjuk Nabi S.A.W yang mengajar kepada kita dengan memacakkan tonggak perjuangan selama 13 tahun di Mekah berkisarkan akidah yang sahih. Dan adakah perjuangan kita sekarang di atas akar tunjang akidah yang sahih? Sekiranya akar tunjang itu rapuh, tidak dibina atas akidah yang sahih, bagaimana pertolongan Allah SWT akan datang memusnahkan perancangan – perancangan pihak musuh.

Apakah akidah yang sahih itu? Iaitu mengesakan Allah sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh ulama – ulama salaf dan khalaf. Tapi, sayangnya, aku perhatikan rata – rata pejuang Islam memandang enteng akan tonggak perjuangan itu. Bilamana persoalan akidah tidak pasak dengan sekukuhnya, maka jauhlah pertolongan Allah itu.

Para pejuang agama Allah SWT ada yang berakidah dengan menyamakan Allah SWT dengan makhluk. Mereka – mereka ini mengiktikadkan bahawasanya Allah SWT itu bersifat dengan mengambil zahir ayat mutasyabih seperti beriktikad bahawa zat Allah SWT bersemayam di atas langit, Allah SWT punyai tangan hakiki, Allah SWT bersifat turun dan pelbagai ayat lagi yang mutasyabih. Bahkan dengan bangganya mengatakan bahawa kamilah sebenar – benar iktikad seperti mana generasi para sahabat.

Ingatlah wahai saudara ku, sesungguhnya iktikad sebegini bukanlah iktikad generasi salaf, dan bukan juga ulama – ulama khalaf. Iktikad ASWJ tidak menyamakan Allah SWT dengan makhluk. Tidak mengambil makna zahir ayat mutasyabih. Akidah generasi para sahabat, dan juga para ulama-ulama khalaf amat luhur dan suci dari menyamakan Allah SWT dengan makhluknya.

Sekiranya akidah para pejuang Agama Allah masih lagi berlandaskan fahaman baru ini, makan pertolongan Allah tidak akan sampai kepada mu, bahkan makin jauh. Sesungguhnya dakwah para Rasul yang utama ialah mengesakan Allah SWT. Nabi Muhammad S.A.W menanamkan akidah yang sahih selama 13 tahun di dada para sahabat, sebelum terbinanya Madinah Munawwarah yang terlaksananya segala hukum – hakam di dalam al Quran secara lengkap.

Marilah sama – sama perbetulkan, serta pasakkan akidah yang sahih sedalam – dalamnya agar kemenangan yang Allah janjikan semakin hampir. Akidah adalah tonggak perjuangan, perjuangan bukanlah sekadar untuk hukum hudud sahaja, bahkan mencakupi Iman, Islam dan Ihsan.

Sekiranya kita tidak berubah, tidak membetulkan akidah yang merupakan tonggak perjuangan, nescaya Allah SWT akan menggantikan dengan generasi lain yang sahih akidahnya.

Pendek kata, menuntutlah ilmu pada ahlinya, pada mereka ulama yang benar-benar ilmunya berlandaskan ASWJ, kerana dunia sekarang, ramai yang tertipu dengan 'title' ulama, walhal dialah 'ulama' yang merosakkan ummah dengan ilmunya yang sesat dari landasan ASWJ.

Perangilah serta perjuangkanlah medan dalam diri kita dahulu, yang masih diselubungi kegelapan kesesatan akidah yang tidak berpaksikan akidah ASWJ. Pabila diri kita disinari dengan cahaya nur akidah yang sahih, nescaya pertolongan serta pimpinan dari Allah SWT akan tiba. Dan nescaya juga, syariat serta akhlak islamiah akan mewarnai kehidupan masyarakat di negara kita.

"Tingkatkan ribat kesatuan akidah, menentang musuh Allah".

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.

waAllhua'lam

0 Komen