Ulama Yang Bersanad

Catatan Oleh: .::.anNaQshY.::. | Sunday, May 21, 2006 | 3 Komen »

بسم الله الرحم الرحيم

بَارَكَ اللهُ لَكَ، وَبَارَكَ عَلَيْكَ، وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا في الخَيْر

Aku doakan buat sahabat aku; akhimasrawi yang telah selamat mengadakan kenduri perkahwinan pada kelmarin, Sabtu 20 Mei 2006, moga-moga Allah taala kurniakan keluarga yang bahagia, anak-anak yang 'qurratul 'ain', mewarisi perjuangan menegakkan kalimah Allah Subhanhu wa taala.

Hujan sepanjang perjalanan ke sana. Dari rumah aku, jeti Kuala Perlis seterusnya sampai Langkawi. Semasa di dalam feri ke Langkawi, hujan agak lebat, laut bergelora. Nun jauh kelihatan, hujan turun mencurah-curah, gelap menandakan lebatnya hujan. Allah Maha Kaya, di lautan serba luas ini diturunkan lagi hujan.

Semasa laut bergelora, kapal terhuyung-hayang, teringat aku akan hizib yang sentiasa dibaca oleh Syeikh Nuruddin ketika hendak memulakan kuliah; iaitu Hizib Bahr. Berkenaan hizib ini, telah diceritakan Imam Syazali Rahimahulah, satu hari beliau ingin pergi haji, beliau mengambil jalan laut. Kapten kapalnya ialah seorang Nasrani. Tengah perjalanan tiba-tiba tidak ada angin. Bukan setakat sehari, tetapi berhari-hari. Semua awak kapal sangat gelisah dan berduka cita.

Dalam kegelisahan inilah beliau bermimpi Rasulullah SallaAllahu 'laihi Wa salam. Lalu Baginda mengajarkan al Imam akan Hizib ini. Apabila siang sudah tiba, al Imam menyuruh kapten itu bersiap-siap untuk belayar. Kapten hairan lalu bertanya: "mana anginnya tuan?" jawab al Imam: "sudah, siap-siap, sekarang angin datang!" jawab al Imam. Rupanya memang benar apa yang dikatakan oleh al Imam, angin pun datang. Kemudian kapten Nasrani itu memeluk Islam dengan sebab kejadian yang luar biasa ini.

Hizib Bahr inilah yang di baca sebelum mulakan kelas tafaquh. Alhamdulillah, aku bersyukur kepada Allah. Dalam hidup aku ini, aku dapat bertemu dan mengikuti kuliah Syeikh Nuruddin. Belajar secara 'talaqi'. Telah lama aku ingin belajar secara 'talaqi'. Aku belajar di IPT, tak pernah aku merasai kepuasan belajar melainkan aku dapat belajar secara 'talaqi'.

Syeikh Nuruddin amat menitikberatkan adab ketika belajar. Kami dipesan agar tidak meletakkan pen, atau pensel atau apa jua barang di atas kitab yang kami belajar. Kami dipesan juga supaya tidak menyandar di dinding. Dan banyak lagi adab-adab yang ditekan semasa pengajian.

Syeikh Nuruddin amat hormat kepada alim ulama. Tak pernah aku dengari Syeikh kondem mana-mana ulama silam, sama ada di dalam kuliah atau pun tulisan. Berbanding segelintir dari kita, baru dapat sedikit kenikmatan dunia, pangkat dunia sudah mudah kondem ulama sesuka hati dengan alasan pemurnian.

Antara kitab yang dikarang oleh syeikh ialah permasalahan haid, nifas dan istihadhah. Kitab tu telah diterjemahkan ke Bahasa Melayu. Baik bagi isteri, suami untuk mengetahui secara 'detail' berkenaan masalah tersebut. Walaupun ia hanya berkenaan soal wanita, tetapi sebagai seorang ketua keluarga, hendaklah tahu berkenaan hal tersebut untuk mengajar kepada isteri dan anak-anak perempuan.

Antara kelebihan syeikh Nuruddin ialah kitab-kitab yang diajarkannya itu, punyai sanad. Jika kita tengok ulama-ulama silam pun, atau sekarang, semuanya punyai sanad. Contoh mudah ialah Syeikh Dr. Ali Jum'ah, mufti Mesir pun di dalam kitabnya iaitu:

حاشية الإمام البيجوري

على جوهرة التوحيد المسمى تحفة المريد على جوهرة التوحيد


Pada muka surat 8, ditulis sanad Syeikh Ali Jum'ah:


سندي في قراءة كتاب جوهرة التوحيد

Boleh rujuk kitab tersebut untuk melihat dan membaca sanad Syeikh Alu Jum'ah. Cuma, di sini aku ingin tulis sedikit nama-nama ulama, yang ditulis oleh Syeikh Ali Jum'ah di dalam sanad beliau iaitu:


الفضل عبد الله بن سيدي محمد بن الصديق الغماري الحسيني

الشيخ محمد علوي المالكي المكي

اليسد أبي الفضل عبد الله بن الصديق

مسند الدنيا رحمه الله يس الفادني الشافعي

عن الشيخ أحمد زيني دحلان مفتي مكة الشافعي


Kawan-kawan, firman Allah Subhaanahu wa taala yang bermaksud:

6. Pada hari itu manusia ke luar dari kuburnya dalam keadaan bermacam-macam, supaya diperlihatkan kepada mereka (balasan) pekerjaan mereka.

7. Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya.

8. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula.


(al Zalzalah; 6-8)


Di akhirat nanti, kita akan diperlihatkan amalan kita. Amalan seberat zarah pun akan diperlihatkan oleh Allah. Jika tulisan kita yang meng'kondem' ulama-ulama, ulama tu tak kena, ulama ni tak kena, melemparkan tuduhan serta fitnah membuta tuli dengan pelbagai tuduhan, nescaya akan diadili Allah Subhanahu wa Taala.

Lebih-lebih lagi ulama yang belajar dan mengajar ikhlas menyampaikan ilmu kerana Allah, segala ilmu yang dipelajari bersanad, bukannya sesuka hati bercakap, atau menulis dengan tuduhan ajaran baru untuk meraih keuntungan duniawi.

Oleh itu berhati-hatilah, jangan hanya memandang akan seseorang itu PhD nya, master nya, atau lain-lain gelaran. Sesungguhnya Allah melihat akan ketakwaan hambaNya. 'Ulama' yang bertakwa semestinya ikhlas menyampaikan ilmu, menghormati dan penuh beradab dengan ulama-ulama sebelum nya. Bukan semberono meng'kondem' ulama.

Jika di tanya, antara ulama, kitab ulama dengan hadis, yang mana nak ikut? Jawab aku;

العلماء ورثة الأبياء

Rasanya mudah ja kan… Semua ulama yang ikhlas mengarang kitab berpandukan alQuran dan al Hadis, semua ikut 2 sumber rujukan tersebut. Hanya yang asyik 'kondem' ulama-ulama lain sahaja tak beradab, berakhlak serta berpandukan al Quran dan as Sunnah, walaupun beriya-riya berselindung slogan 'pemurnian'.

WaAllahua'lam

3 Komen

  1. ~albazrah~ // 12:58 PM  

    Terima kasih untuk posting ni, rasa tenang sikit. Pening baca cercaan terhadap Sheikh Nur.

  2. Anonymous // 10:16 PM  

    Subhanallah!

  3. .::.anNaQshY.::. // 11:14 PM  

    albazrah: Tak yah pening-pening, biarkan meraka itu dengan sifat mereka. Ummat akhir zaman katakan :)

    InsyaAllah Sheikh Nur akan mai Kedah, nanti saya maklum semula.