Gabungan Iman Dan Kepakaran

Catatan Oleh: .::.anNaQshY.::. | Monday, March 16, 2009 | | 0 Komen »

بسم الله الرحمن الرحيم

Islam adalah ajaran yang menyuluh seluruh kehidupan manusia dari soal sekecil-kecilnya hingga sebesar-besarnya. Oleh itu, usaha membangunkan Islam bukan hanya tanggungjawab ulama, tok-tok guru dan pendakwah. Ia melibatkan sama golongan teknokrat yang pakar dalam pelbagai bidang.

Golongan rohani, termasuk pendakwah, mesti aktif memimpin dan mendidik manusia agar mengenal dan menyembah Allah, seterusnya berbakti kepada manusia. Pelbagai kaedah dan pendekatan perlu digunakan untuk itu. Tanpa didikan iman, manusia akan menggunakan kepakaran untuk membuat onar, kefasiqan dan kemungkaran. Semakin maju kepakaran mereka dan semakin canggih teknologi yang mereka hasilkan, semakin rosaklah kehidupan.

Manusia terutama golongan teknokrat yang sudah terdidik pula mesti diprogramkan agar dapat menggunakan kepakaran yang dimiliki untuk berbuat sebanyak-banyaknya bakti kepada masyarakat sesuai dengan tuntutan dan ajaran Islam.

Islam secara global tidak dapat ditegakkan jika hanya golongan rohani sahaja yang berperanan. Kerana ajaran Islam menyentuh ekonomi, perhubungan, penyampaian maklumat, hiburan, pertanian, penternakan dan lain-lain aspek hidup. Kesemua ini memerlukan sumbangan kepakaran golongan teknokrat. Jika pendakwah dan pejuang Islam hanya terdiri dari golongan rohani yang tiada kepakaran dalam mana-mana bidang, mereka tidak akan mampu berdikari dalam banyak sudut. Apatah lagi untuk jadi tempat sandaran dan model di tengah kehidupan.

Sekalipun insaniah mereka bik, tetapi jika kehidupan mereka tidak canggih dan gagal menguasai bidang teknikal dan teknologi, mereka akan terpinggir dan tersisih dari arus perdana masyarakat berteknologi. Masyarakat kurang hormat dan kurang yakin pada mereka. Lebih-lebih lagi jika pendakwah dan pejuang Islam hanya menekan soal halal-haram dan ibadah-ibadah khusus tanpa menghiraukan aspek-aspek lain dari kehidupan.

Dalam kepesatan perkembangan teknologi maklumat sekarang, pandakwah dan pejuang Islam mesti menyediakan sebanyak mungkin alternatif kepada gaya dan sistem hidup yang sesuai dengan Islam. Sekiranga mereka menghukum sesuatu itu haram, mereka mesti sediakan alternatif yang halal. Bentangkan jalan yang baru andainya jalan lama telah kita sekta. Justeru di dalam Islam, perkara yang halal lebih banyak dari perkara yang haram.

Dengan bergabungnya golongan rohani dan teknokrat, maka bergabung sekali iman dan taqwa serta kepakaran. Inilah bentuk kebangkitan Islam yang memang dikehendaki oleh manusia di zaman moden ini.

Dunia Baru.

WaAllahua'lam

0 Komen