بسم الله الرحمن الرحيم
Allah SWT berfirman di dalam surah Aali-Imran ayat 103 yang bermaksud:
Dan berpeganglah kamu semua kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu bermusuh-musuhan maka Allah menjinakkan hati-hati kamu, lalu kamu menjadi bersaudara kerana nikmat Allah.
Dalam surah yang lain, Allah juga berfirman dalam surah Al-Anfal ayat 63 yang bermaksud:
Jikalau kamu membelanjakan semua harta kekayaan yang ada di atas muka bumi ini, nescaya kamu tidak mampu menyatukan hati-hati mereka. Tetapi Allah yang menyatukan hati-hati mereka, sesungguhnya dia maha perkasa lagi bijaksana.
Alhamdulillah, bak kata pepatah Melayu dahulu kala, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Telah sedia kita maklum, sesungguhnya setiap mukmin itu bersaudara. Dalam erti kata setiap muslim yang mengucap dua kalimah syahadah berkiblatkan yang satu, punyai Rasul yang bernama Muhammad Rasulullah SAW, dan punyai musuh yang sama iaitu iblis Laknatullah.
Allah berfirman dalam surah Yaasin ayat 30 maksunya:
Bukankah Aku telah memerintahkan kepadamu wahai anak cucu Adam agar kamu tidak menyembah syaitan? Sungguh, syaitan itu musuh yang nyta bagi kamu.
Adalah menjadi permainan iblis dengan menghasut para pengikut Nabi Akhir Zaman melaga-lagakan sesama mukmin, agar kelihatan nyata bermusuhan sesama sendiri, melupakan firman Allah yang telah menyatakan secara nyata bahawa musuh sebenar seorang mukmin itu ialah iblis.
Imam Al-Ghazali Hujatul Islam pernah menyarankan dengan kata-kata beliau:
Rosaknya rakyat kerana rosak negara, rosaknya negara kerana rosaknya pihak yang berkuasa, rosak yang berkuasa adalah kerana rosak para pemimpin, rosaknya pemimpin adalah kerana rosaknya ulama.
Oleh yang sedemikian, saya menyetujui dan menyokong sepenuhnya agar peranan ulama sebagai pewaris an biya' kembali memimpin berperanan semula menyepadukan ummah agar terlaksana Baldatun Toyyibaton Wa Rabbun Ghaffur.
Para ulama sekarang ini hendaklah aktif menegur dan menasihati umara agar kembali ke landasan Islam sepenuhnya, agar masyarakat tanpa mengira agama merasai nikmat di bawah payungan Islam.
Hendaklah kita sama akui bahawa situasi sekarang ini, masyarakat kafir di negara kita sedang mengintai kelemahan ummat Islam dan akan mengambil peluang untuk mengucar kacirkan masyarakat Islam.
Dalam surah Aali Imran ayat 104 yang bermaksud:
Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.
WaAllahua'lam
0 Komen
Post a Comment