Kemuncak 'ledakan'.

Catatan Oleh: .::.anNaQshY.::. | Sunday, August 07, 2005 | | 0 Komen »

Bismillahirrahmanirrahim...

Bila kecil belajar kat tadika/tabika,
Nanti besar boleh belajar kat Akademi Fantasia.

Di tadika, belajar nyanyi dan menari,
Bila besar, boleh juara macam Mawi.

Masuk universiti, kena beban hutang,
Masuk Akademi Fantasia, bila tamat dan juara dapat untung.


Posted by Picasa


SENYUMAN JUARA: Selepas 10 minggu bertahan, Mawi akhirnya membuktikan bahawa dialah juara sebenar untuk terus bertakhta di hati peminat setianya dalam pertandingan akhir Akademi Fantasia 3 yang diadakan di Stadium Malawati, malam tadi.

SHAH ALAM: Calon pilihan ramai, Asmawi Ani atau Mawi dinobatkan juara musim ketiga program realiti, Akademi Fantasia (AF3), di Stadium Malawati di sini, tepat jam 11.18 malam tadi. Beliau juga memenangi kategori Vokal Terbaik dan Persembahan Terbaik.

Kemenangan Mawi, 24 yang menyandarkan lagu Seroja (penyanyi asal S Effendi) dan Aduh Saleha, ciptaan M Nasir, memang sudah diduga kerana sejak dimasukkan semula ke AF3, kedudukan undian untuk peserta dari Felda Taib Andak, Kulai, Johor itu sentiasa pada paras teratas.

Suara Mawi terutama ketika mendendangkan lagu Seroja memikat lebih 6,000 penonton yang memenuhi stadium itu, malah tiga pengkritik - Kudsia Kahar, Adlin Aman Ramli dan Syafinaz juga terpegun dengan persembahannya.

Berikutan kemenangan itu, Mawi menerima hadiah bernilai RM321,854 termasuk sebuah pangsapuri (RM176,000), kereta Suzuki Swift 1.5 (bernilai 78,000), wang tunai RM20,000, pakej percutian ke London dan Paris, produk Olympus, trofi serta hadiah iringan lain.

Hadiah disampaikan oleh pengetua AF3, M Nasir. Rancangan itu disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria dan Radio Era.

Pelajar yang dikatakan mempunyai aura tersendiri itu sambil dua kali melaungkan ‘Belia Benci Dadah’ bersyukur kepada Tuhan yang memberi rezeki kepadanya dan berterima kasih kepada peminat yang tidak putus-putus mengundi menerusi SMS.

Tempat kedua pula menjadi milik peserta dari Kota Belud, Sabah, Felix Agus. Kemenangan Felix, 23, juga tidak mengejutkan kerana undian untuk beliau sentiasa mengekori rapat peratusan undi Mawi.

Beliau yang menyanyikan lagu Kudaku Lari (dipopularkan Datuk Sharifah Aini) dan lagu baru, Warkah Berlagu Pilu ciptaan Adnan Abu Hassan menerima wang tunai RM10,000, pakej percutian ke London, sistem teater rumah dan peralatan elektrik, produk Olympus, trofi serta hadiah iringan lain.

Pelajar wanita berbakat besar, Amylea, 19, terpaksa berpuas hati di tempat ketiga. Pelajar dari Langkawi, Kedah itu menerima wang tunai RM5,000, pakej percutian ke London, sistem teater rumah dan peralatan elektrik, produk Olympus, trofi dan hadiah iringan lain.

Seorang lagi finalis wanita, Marsha, 19, dipilih sebagai pemenang keempat yang melayakkannya menerima wang tunai RM4,000, pakej percutian ke Bali, sistem teater rumah dan peralatan elektrik, trofi dan hadiah iringan lain.

Tempat kelima dimenangi Mohd Yazer Yusof (Yazer), 23, yang tersingkir selepas konsert kesembilan bersama Mohammed Zulkefli Mohd Idir (Kefli), Sabtu lalu.

Yazer menerima wang tunai RM3,000, pakej percutian ke Bali, trofi dan hadiah iringan lain.

Sementara itu, Mawi diumumkan sebagai pemenang Anugerah Vokal Terbaik yang melayakkannya menerima wang tunai RM3,000 dan trofi. Bagi Persembahan Terbaik dimenangi, Mawi. Dia menerima RM3,000.

AF3 yang bermula dengan Konsert Prelude untuk memilih 12 pelajar, 31 Mei lalu disertai 20 pelajar. Bagaimanapun, lapan pelajar tersingkir sebelum dua lagi pelajar iaitu Mawi dan Marsha diserap selepas konsert pertama AF3 berakhir.

AF3 turut disertai Amylia Mohd Azlan (Amy) Asiahtunakma Abdullah (Akma), Elliza Abdul Razak (Elliza), Norashikin Abdul Rahman (Ekin) dan Nor Farah Idayu Yaakob (Idayu).

Pelajar lelaki pula ialah Nik Mohd Aidil Nik Zamri (Aidil), Fuad Razlan Abd Azri (Fuad) dan Syaiful Reza Mohamed (Reza).


Aku masuk belajar, kena cari duit untuk menampung sara hidup dan juga urusan kewangan belajar. Sekarang ni, nak sambung belajar lagi pun kena fikir sumber kewangan.

Mahasiswa-mahasiswi, habih belajar bebang pinjaman kena selesaikan. Nak cari pekerjaan pun, peluang amat terhad, graduan setiap tahun keluar dengan bilangan yang ramai.

Tapi, bila tamat belajar di Akademi Fantasia, yang hanya belajar cara menari dan menyanyi bila dapat 'ijazah', pulang dengan pelbagai hadiah lumayan, hanya belajar tak sampai setahun. Siapa tak tertarik dengan hadiah lumayan yang ditawarkan, walau akhirat menjadi taruhan.

Eksploit. Pihak Astro mengeksploitasi pelajar Akademi Fantasia untuk keuntungan yang lumayan. Pihak telekomunasi untung segera melalui SMS.

Agak-agak, berapakah pihak Astro dan syarikat telekomunikasi untuk bersih hasil program Akademi Fantasia? Bayangkannnn...

Yang ku tahu, Program Akademi Fantasia ialah program yang diadaptasi daripada program La Academia, Mexico.

Mungkin program seperti ini antara yang ditegur oleh TPM Najib. Apakan daya, bagi penerbit program, bukan itu yang dipedulikan, tapi untung yang mahu difikirkan...

Mari kita berdoa pada Allah agar dipelihara kita dan anak cucu kita dari fitnah duniawi, dan berusaha agar dapat mewujudkan masyarakat Islam yang berpegang teguh pada ajaran Islam dalam setiap sudut kehidupan.

waAllahua'lam...

0 Komen