Baru Ketemui Idola

Catatan Oleh: .::.anNaQshY.::. | Saturday, July 16, 2005 | 0 Komen »

Bismillahirrahmanirrahim...

Seperti yang aku sebut sebelum ni, 'gelombang tsumawi' terus mendapat perhatian masyarakat. Bukan setakat golongan akademik menyokong mawi dijadikan idola, bahkan di kalangan ahli politik pun berminat dan menyeru agar mawi terus dijadikan idola remaja sekarang.

Zaman pemerintahan Islam Had hari, mungkin baru ketemui seorang idola, aku panggil 'idola Islam Had hari'. Penemuan terbaru 'Idola Islam Had hari' yang boleh dijadikan idola mungkin ubat penawar buat remaja yang kini dilanda taufan keruntuhan akhlak dan moral. Bak kata Pak Lah:

Kita bongkar rahsia kitab suci,
Cari panduan,
Kita bongkar rahsia sunah Nabi,
Cari pedoman,
Aku hidup kerana Dia Rabbi,


Akhirnya, mawi yang dijadikan idola kini...

Orang Islam, jika benar-benar menghayati isi kandungan al Quran, nescaya akan dijumpai siapakah panduan, idola yang boleh dikuti sebagai qudwah hasanah. Al Quran telah diwahyukan kepada Baginda 1400 H tahun yang lampau, terhidang depan mata kita sekarang, tapi kerana kebutaan hati, tak nampak-nampak siapakah idola yang Allah utuskan kepada ummat.

Alangkah malang, jika pemimpin pun lebih nampak artis sebagai idola dari Rasulullah SAW yang maksum. Inilah hasil jika kita memilih pemimpin yang lebih berhawa nafsu kerakusan keuntungan duniawi dari pemimpin yang dibayangi keperibadian Rasulullah SAW.

So, siapakah yang mengundi pemimpin yang ada sekarang?

Mawi AF3 pikat 4 YB

Oleh Mohd Ramzi Sanny
ramzi@hmetro.com.my


JOHOR BAHRU: Gelombang populariti peserta Akademi Fantasia musim ketiga, Asmawi Ani yang lebih dikenali sebagai Mawi, turut menjangkiti sidang Dewan Undangan Negeri Johor yang berakhir semalam.

Anak muda berasal dari Felda Taib Andak, Kulai itu menjadi pilihan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Johor dengan menyifatkannya sebagai idola remaja Johor yang wajar dicontohi.
Persidangan selama 11 hari yang berakhir pagi semalam diakhiri dengan pantun Speaker Dewan Undangan Negeri Johor Datuk Mohd Ali Hassan:

“Berjalan sambil menyanyi, Lagunya irama asli, Esok ada Akademi Fantasi(a) Jangan lupa undi Mawi.”

Selain itu, sekurang-kurangnya empat Ahli Dewan membicarakan mengenai Mawi ketika membahaskan titah ucapan Sultan Johor sepanjang persidangan itu sehingga ada Adun yang mahu Mawi dijadikan sebagai remaja contoh di negeri ini.

Antara Adun yang menyokong Mawi dan bangga ketrampilan Mawi adalah Adun Bukit Permai, Zainal Abidin Jidin; Adun Nusa Jaya, Aziz Sapian; Adun Penawar, Dr Mohd Azam Rauzan selain Adun Tiram, Maulizan Bujang apabila dicelah Mohd Ali.

Zainal Abidin, wakil rakyat tempat kelahiran Mawi yang mula membangkitkan mengenai peserta Akademi Fantasia musik ketiga itu berkata, Mawi adalah seorang model remaja Johor yang patut dicontohi.

Bukan itu saja, katanya, malah Mawi juga menyerlahkan bakat seni belia Johor sekali gus menaikkan nama Johor di persada seni.

“Mawi bukan saja berkebolehan menyanyi lagu pop tetapi mempunyai suara yang lunak dan boleh berzanji, membaca al-Quran dengan baik dan mengajarnya pula pada anak-anak Felda yang lain,” katanya.

Dr Azam dalam perbahasannya berkata, Mawi adalah anak Felda yang bukan sahaja pandai menyanyi tetapi mempunyai daya tahan dan jati diri Melayu yang terserlah.

“Mawi yang kini menjadi idola anak-anak muda adalah anak Johor yang fasih mengaji, pernah menjadi johan musabaqah, pandai berzanji dan lancar bermarhaban.

“Kita harap Mawi akan terus berdaya tahan, tidak terjebak dalam kegiatan tidak diingini, sebaliknya muncul sebagai seniman yang kaya dengan amalan kerohanian.

“Kita harap Mawi akan menjadi idola yang tepat untuk anak-anak Melayu,” katanya.


Mawi adalah antara peserta program realiti televisyen AF yang menjadi sebutan ramai dan memperoleh peratusan undi tertinggi berbanding peserta lain.

Sementara itu, bapa Mawi, Ani Ahmad, 65, ketika ditemui di rumahnya semalam, bersyukur kerana anaknya menjadi turut mendapat perhatian dalam sidang Dewan Undangan Negeri Johor.

“Saya turut bangga dan gembira apa yang dicapai Mawi sehinga dianggap sebagai model dan contoh remaja Melayu.

“Kami sekeluarga pada mulanya terkejut kerana Mawi menjadi satu ‘fenomena’ baru dalam industri hiburan di negara ini.

“Bagaimanapun, perasaan itu berubah menjadi bangga kerana sekurang-kurangnya Mawi berjaya membuktikan bahawa anak seorang peneroka Felda juga mampu untuk menjadi seorang penghibur berjaya,” katanya.

Menurut Ani antara peneroka awal Felda Taib Andak kira-kira 35 tahun lalu, berkata beliau sekeluarga bukan berasal daripada keluarga senang dan populariti yang dikecapi Mawi tidak akan mengubah kehidupan keluarga mereka.

“Mawi hanya seorang remaja kampung yang sudah mula mengenali alam pekerjaan sejak berusia 18 tahun,” katanya.

“Saya mempunyai enam anak tetapi tiga daripadanya sudah meninggal dunia dan Mawi satu-satunya anak tunggal lelaki saya tetapi beliau tidak pernah menyusahkan kami sekeluarga,” katanya.

Ani yang lebih dikenali sebagai Pak Atan di kalangan penduduk Felda Taib Andak, Kulai, berkata beliau sentiasa mendoakan Mawi setiap kali selepas solat dengan tiga ayat terakhir surah Yassin supaya anaknya tidak lupa kepada ajaran agama.

“Saya tidak mahu menjadi riak kerana apa yang dikecapi Mawi kini adalah kurniaan Allah tetapi mungkin berkatnya, yang pernah menjadi guru mengaji pada anak-anak di Felda ini selepas mendapat pendidikan agama sehingga Darjah Khas.


waAllhua'lam...

0 Komen