Idola

Catatan Oleh: .::.anNaQshY.::. | Saturday, July 16, 2005 | 0 Komen »

Bismillahirrahmanirrahim...

Cinta kepada Allah,
Cinta Rasul,
Cinta Ibu Bapa,
Cinta kepada umat,
Cinta kepada kecemerlangan.


Kita pernah dengar senikata lagu di atas, senikata bermaksud menyeru ke arah menyintai Allah dan RasulNya. Lagu di atas, sesuai didendangkan kepada kanak-kanak, agar mereka ketahui siapakah yang perlu diikuti buat mengemudi kehidupan menjadi insan yang berjaya dunia dan akhirat.

Sejak 2 3 ari ni, aku tercari-cari maksud sebenar istilah 'idola'. Cari secara online kamus dewan, tak jumpa. Cari melalui enjin pencarian pun, sekadar menemui istilah tersebut yang diguna pakai membawa maksud seseorang yang diikuti sebagai suri teladan dalam kehidupan.

Kalau 'idol', mengiku kamus bermaksud: n 1. image for worship, berhala, patung (sembahan), tokong; 2. object of devotion, (approp n) pujaan: Elvis Presley was her ~, Elvis Presley ialah penyanyi pujaannya; make /st o’s ~, an ~ of st/, mendewa-dewakan sst: he makes money his ~, dia mendewa-dewakan wang.

Jadi, apakah motif rancangan Malaysia Idol diperkenalkan? Dan apakah maksudnya?

Seperti yang sedia maklum, AF3 kali ni, ada sedikit kelainan. Kelainannya mungkin kerana kepopuloritian seorang peserta yang kini mendapat undian tertinggi, dikatakan mempunyai karisma yang boleh dijadikan idola. Entahlah... Yang aku tahu, dia bekas qari, dikatakan juga ada sedikit 'imej' Islam yang dibawanya.

Keratan dari akhbar di bawah, mungkin boleh memberi sedikit gambaran gelombang 'tsumawi' yang melanda minda masyarakat sekarang.

Profesor akui Mawi boleh jadi idola
Oleh Azran Jaffar

BANGI: Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Saliha Hassan menyifatkan Mawi, peserta Akademi Fantasia 3 sebagai role model generasi muda Melayu terkini yang bijak menyelitkan unsur jati diri Melayu dan keagamaan ke dalam dunia hiburan.

Beliau melihat Mawi sebagai seorang bersahsiah Islam dan Melayu, yakin dan selesa dengandirinya, berorientasi "world' yang disukai anak muda sekarang. Malah, Mawi bukan sekadar artis baru, tapi cerminan sebahagian daripada anak muda.

Bagaimanapun, beliau mahu Mawi terus dengan penampilan ikhlas yang ada sekarang-berketayap, pakai kain pelekat, pandai silat, berzanji, kental ajaran agama termasuk menjadi qari selain boleh membawa pelbagai rentak lagu dengan kekuatan sendiri.

“Bagi saya, sebagaimana Siti Nurhaliza, Mawi saya akui juga boleh menjadi idola yang baik untuk generasi muda Melayu yang umumnya memang asyik dengan dunia hiburan,” katanya ketika mengulas ketrampilan Mawi dalam program AF3 yang begitu digemari sekarang.

Ketika ditanya siapa yang mengundi Mawi, Saliha berkata: “Saya tidak ada data konkrit, tetapi pada hemat saya kebanyakannya kalangan Melayu berumur 20-an hingga 30-an tahun. Ada juga golongan dewasa yang turut mengundi dan pihak yang menaja mengundinya.

Apa pun, Mawi sehingga ini kekal dengan undi terbanyak walaupun dia melakukan beberapa kesilapan ketika pertunjukan dan dikritik oleh juri profesional.

“Saya rasa ini yang menarik untuk dilihat implikasinya dari segi perkembangan sosial yang ada kaitan dengan politik semasa. Fenomena Mawi ini majoritinya membabitkan generasi muda, yakni bagi saya generasi pelapis negara.

“Dengan itu pandang dunia mereka penting untuk kita perhatikan dan fahami. Bukan saja Mawi berani dan selesa just being himself tetapi penyokong-penyokongnya juga cukup selesa dengan penampilan beliau dan genre muzik beliau... nasyid dan etnik, Islam dan Melayu,” katanya.

Saliha berkata, memang ramai ahli seni dan pemuzik menghasilkan muzik bersifat etnik dan ketuhanan. Tetapi, ‘ketuhanan’ adalah universal. Irama nasyid berbeza. Ia adalah genretersendiri, ada kesyahduan, iaitu unsur spiritual yang berkaitan langsung dengan keIslaman


Minda Lestari: ‘Pakej Mawi’ antara strategi baru promosi program cintai alam sekitarBersama Prof Dr Zaini Ujang

ANAK lelaki saya berusia enam tahun begitu kecewa pada Khamis lalu kerana tidak dapat mengikuti kelas mengaji al-Quran disebabkan kelewatan saya. Sambil merengus dia berkata: “Nanti tak dapat jadi macam Mawi. Pandai mengaji...”

Rengusan dan komennya mengenai Mawi itu menarik perhatian saya kerana sebelum ini sikapnyam sedikit dingin terhadap pelajaran, terutama pengajian al-Quran.

Tetapi pengaruh Mawi, pelajar Akademi Fantasia 3 (AF3) dengan suara yang unik dan pandai mengaji itu, berjaya mengubah minat dan sikap anak saya sekurang-kurangnya terhadap pengajian al-Quran.

Secara peribadi saya mengucapkan terima kasih kepada Mawi dan saya doakan semoga berjaya dan tabah mengharungi dunia hiburan. Saya juga berharap selebriti seperti beliau dapat menjadi teladan kepada golongan muda supaya bersikap positif dan berperwatakan mulia.

Potensi ini memang disedari oleh media, ahli strategik dan golongan penggubal dasar. Itulah sebabnya selebriti seperti Nicole Kidman, David Beckham dan Angelina Jolie menjadi rebutan pelbagai penaja yang bukan saja mempromosi barang, malah idea dan cara hidup.

Ternyata mereka jauh lebih berpengaruh dan diteladani berbanding profesor, golongan pelobi atau ahli politik yang kononnya punya idea dan pelbagai gagasan besar itu.

Kesediaan selebriti ini untuk menjadi promoter sesuatu idea, barang dan cara hidup juga seharusnya digunakan oleh pencinta alam dan penggubal dasar berkaitan pembangunan lestari di Malaysia.

Dalam keadaan inilah, maka ‘pakej Mawi’ sangat diperlukan. Aksinya ditontoni, bicaranya didengari, citranya dihayati, gaya hidupnya diteladani dan mindanya ditelusuri.

Saya yakin ‘pakej Mawi’ ini efektif jika diterapkan dalam usaha kita membangun dan menyuburkan budaya positif dalam masyarakat, termasuk budaya hidup mesra alam.

Memang ‘pakej Mawi’ berbeza dengan ribuan selebriti lain, dengan jati diri Melayu dan cara hidup beragama yang serba sederhana. Ia tidak boleh dibuat-buat, tetapi lahir daripada unsur dan ramuan dalaman yang memang sedia tertanam di jiwa.

Itulah asas paling kukuh untuk pembentukan sikap dan sifat mulia, budaya maju dan pembangunan lestari.

- Penulis adalah Pengarah Institut Pengurusan Alam Sekitar & Sumber Air (IPASA), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Naib Presiden Pertubuhan Air Antarabangsa (IWA).


2 berita di atas, kesimpulan yang boleh kita ambil sedikit ialah gelombang dunia hiburan terus bertapak kukuh di sanubari hati masyarakat, sehinggakan apa jua yang hendak dijadikan 'role model' dalam kehidupan masyarakat kini ialah artis.

Apakah sebab seseorang itu boleh dijadikan idola, atau ikutan, atau dalam bahasa arabnya 'qudwah'? Sebab hanya manusia yang berpesonaliti unggul layak untuk dijadikan idola atau ikutan dalam kehidupan. Jadi, adakah seorang artis boleh dijadikan idola atau qudwah buat remaja sekarang?

Pesonaliti Unggul

Istilah 'Towering Personality' ataupun pesonaliti unggul adalah garnbaran jati diri dan peribadi individu yang perkasa serta tinggi dimana disebalik fikrah keunggulan itu tersirat di dalamnya dengan nilai yang lebih bersifat keistimewaan dalam sebuah proses kompetensi sehingga ia memiliki lebih dari yang lain. ‘Pak Lah’ dalarn amanatnya yang lalu pada 11 Februari mengambarkan pesonaliti unggul ini pebagai, "manusia yang berhemah tinggi, berpengetahuan tinggi dimana pencapaian ketokohannya tinggi ekoran nilai intelektual yang tinggi". Mereka di lihat tinggi dari segi pengetahuannya sehinga dipandang tinggi dan dihormati orang lain kerana pesonaliti mereka yang memikat orang lain untuk turut sarna memuliakannya apabila kehadirannya disedari dan apabila golongan berpesonaliti unggul ini berjalan maka orang lain turut akan bangun bagi memberi penghormatan atau mendarnpingi golongan ini.

Islam itu sendiri banyak idola yang unggul untuk dijadikan ikutan seperti Rasullulah SAW yang menjadi tauladan pesonaliti unggul yang terbilang. Begitu juga dengan sahabat Baginda, yang telah ditarbiyah membentuk generasi idola buat memacu ummah teladan sepanjana zaman.

Sahabat ibarat bintang, menjadi petunjuk di malam hari, menyuluh sinar jalanan memandu arah ke arah jalan yang selamat. Tabi' dan tabiin mengharungi jalan yang pernah dilalui oleh para sahabat, tiba di destinasi dengan selamat berhimpun bersama sahabat Baginda SAW.

Ulama pewaris Nabi-nabi. Mewarisi perjuangan membentuk ummah mengikut acuan yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah dan para sahabat Baginda. Idola ummah mengharungi kehidupan sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini.

Biah solehah, atau pun suasana yang baik antara elemen yang penting untuk urusan tarbiyah membentuk jiwa muslim. Anak-anak kecil, lebih mudah menerima didikan secara langsung melalui apa yang di lihat, apa yang di dengar di sekeliling. Jika selalu menonton artis di TV, maka artislah akan membayangi rentak kehidupannya kelak.

Siapakah idola bagi anak kecil itu? Sebut Rasulullah SAW di hadapannya, dengan usia yang masih kecil belum mampu mengenali keperibadian Rasulullah SAW Begitu juga dengan para sahabat, apatah lagi perjuangan ulama-ulama silam. Orang yang paling hampir dengan anak-anak, ialah ibu bapanya sendiri. Apa yang ibu bapa sebut, lakukan, pendek kata tingkah laku seharian ibu bapa boleh memberi kesan minda dan rohani pada anak-anak.

Jadi, idola anak kecil adalah ibu bapanya sendiri, yang di bayangi bayangan keperibadian Rasulullah SAW. Si anak akan lihat keperibadian Rasulullah SAW, Siti Aishah, Siti Khadijah, para sahabat Baginda dan ulama-ulama melalui pancaran kehidupan realiti di hadapannya.

Bila meningkat usia si anak, boleh memahami dan membaca, mereka akan lebih tahu secara mendalam keperibadian idola mereka. Penambahan maklumat di dalam minda mereka di atas asas apa yang dilihat masa kecil, menambahkan lagi ikatan padu keperibadian muslim di jiwa mereka.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah. ( Al-Ahzab : 21 ).

Siapakah idola kita? Allah SWT telah memberikan petunjuk kepada kita, pada diri Rasulullah SAW itu qudwah hasanah, mempunyai pesonaliti unggul, idola yang dijadikan ikutan sepanjang zaman.

Kenapa harus artis dijadikan idola buat diri kita dan anak-anak kita? Mampukah artis menggungguli keperibadian untuk dijadikan contoh suri teladan kehidupan kita? Pendek kata, mampukah artis memandu keperibadian kita untuk bertemu Allah, Pencipta kehidupan dan kematian?

Kehidupan, ada kematian. Kematian, tak dapat tidak, tak akan terlepas alam akhirat yang akan diadili di mahkamah Rabbul Jalil. Ada syurga dan neraka. Hanya keperibadian Rasulullah SAW menjamin kehidupan kita menempuh alam akhirat. Jika kalian yakini artis boleh memberikan contoh untuk bertemu Allah SWT, ikutlah...

Mawi cetus fenomena Melayu baru

SUNGGUH hebat gelora ‘Tsumawi’ melanda persekitaran kita sekarang sehinggakan hampir setiap sudut, ruang tidak boleh lari daripada mendengar cerita mengenai Asmawi Ani @ Mawi iaitu seorang daripada pelajar Akademi Fantasia Tiga (AF3).

Saya mendapati fenomena 'Mr World' ini banyak mempengaruhi persada hiburan Melayu masa kini, khususnya di kalangan muda mudi.

Suka atau tidak, hakikatnya sekarang kita tidak boleh mengelak daripada berbicara mengenai Mawi kerana nampaknya setiap orang tidak kira latar belakang apa sekali pun, semuanya cuba mengupas misteri fenomena ‘Tsumawi’ ini.

Yang terbaru adalah kupasan intelek oleh seorang pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Saliha Hassan yang menterjemahkan punca dan kesan ‘Mr World’ ini kepada masyarakat kita.

Sebagai seorang penuntut universiti dan juga orang Melayu, saya amat tertarik dengan pandangan beliau kerana sesungguhnya terlalu banyak pengajaran yang tersirat di dalamnya yang mana jika kita mencermin kembali diri kita sendiri sekarang, tentunya kita akan berterima kasih kepada gelora ‘Tsuwami’ ini kelak.

Jika masyarakat Barat sering gah dengan ideologi kebebasan dan demokrasi sekular mereka, kita sepatutnya berasa bersyukur dan bertuah kerana rupa-rupanya generasi muda kita yang disangkakan sudah hilang ciri-ciri keMelayuan dan pegangan agama mereka, masih berpegang teguh kepadanya.

Walaupun mereka sering terdedah dengan pelbagai pengaruh dan unsur luar, adik-adik kita masih dapat memilih contoh idola mereka yang sesuai bagi mengimbangi di antara kehendak duniawi dan agama, lebih-lebih lagi berkaitan dengan dunia hiburan.

Bak kata seorang daripada pengkritik profesional yang lebih mesra dengan panggilan ‘Abang Mat’ berbunyi: “Kalau kau nak aku berzanji aku boleh, kalau kau nak ‘Beautiful Maria’ pun aku boleh”.

Saya juga amat bersetuju dengan pandangan Prof Madya Saliha yang mengaitkan istilah Islam Hadhari dengan slogan ‘World’ itu.

Tidak keterlaluan jika saya mengatakan bahawa istilah ‘World’ bagi mereka sebenarnya adalah pendua kepada Islam Hadhari daripada kaca mata mereka jika benar-benar kita halusi sejujur-jujurnya.

Sejarah mengajar kita bahawa kebanyakan kegagalan tamadun hebat dunia masa lampau adalah kerana mereka enggan menerima arus perubahan dan juga hilangnya pegangan agama dalam aspek kehidupan.

Saya berharap supaya kita lebih bersifat terbuka kerana realitinya adik-adik kita bukanlah golongan fanatik seperti sesetengah individu labelkan tetapi sudah mengenali idola terbaik mereka untuk dicontohi.

Tugas kita sekarang lebih hanya untuk terus memberi sokongan dan bimbingan terbaik agar menepati acuan jatidiri Melayu dan Islam Moden yang kita harapkan.

SHAHRUL MS,
Pasir Gudang, Johor.


Mawi bukan idola sesuai Melayu Baru

SAYA begitu tertarik dengan tulisan Pensyarah Program Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Saliha Hassan, mengenai keistimewaan Mawi. pelajar Akademi Fantasia Tiga (AF3) dalam Berita Minggu, Ahad lalu.

Saya kagum dengan idea analitikalbeliau dalam membuka skop persepsi populariti Mawi AF3 kepada medan mencakupi identiti dan konsep Melayu Baru.

Bagaimanapun, saya berpendapat untuk mengangkat Mawi sebagai fenomena dunia hiburan terkini, idola atau model ikutan kepada remaja dan generasi muda, adalah agak keterlaluan.

Mawi hanyalah sekadar pakej penghibur era baru yang memaparkan imej keIslaman dan keMelayuan untuk mempelbagaikan karakter dalam program hiburan.

Sudah tentu, karakter besar Melayu Baru yang kita inginkan ialah yang berjiwa besar dan kental, tinggi budi dan intelektual, rapi peribadi, agama dan moral serta hebat kerja dan amal.

Banyak karakter Melayu Baru lain boleh dijadikan idola selain Mawi. Contohnya, pelajar pintar Nur Amalina Che Bakri yang mendapat 17A dalam SPM baru-baru ini.

Begitu juga Melati Abdul Hamid yang dinobatkan sebagai ‘Best Oralist’ dalam pertandingan Mut Antarabangsa Jesup Philips.

Prof Madya Saliha juga ada menyebut istilah world yang diketengahkan Mawi yang menjadi produk langsung kepada slogan ‘Malaysia Boleh’. World ini bukan istilah baru digunakan remaja, ia sudah lama. Istilah ini punya takrifan mendalam dan positif – bukannya dicanangkan dalam pentas hiburan glamor.

PEGUAM MUDA MELAYU,
Kuala Lumpur.


Jangan keterlaluan memuji Mawi AF3

Saudara Pengarang,
SUKACITA saya menyentuh tentang hebohnya orang memperkatakan tentang artis Akademi Fantasia 3 (AF3) bernama Mawi. Hinggakan Prof. Dr. Zaini Ujang menulis tentang Pakej Mawi antara strategi baru promosi program cintai alam sekitar.

Apakah dengan hanya kepandaian membaca menyanyi dan bernasyid sudah dianggap sesuai untuk dijadikan pakej atau duta alam sekitar yang ideal? Saya bersetuju jika penyanyi Siti Nurhaliza dijadikan idola sebagai insan seni yang mengharumkan nama negara dan ini sudahpun terbukti.

Adalah keterlaluan dan terlalu awal bagi kita memuji Mawi artis yang baru kita kenali sedangkan pengalaman membuktikan ramai artis veteran mengalami nasib di luar dugaan seperti Saleem, Jamal Abdillah dan Shereen.

Saya bukanlah dengki atau cemburu dengan populariti Mawi, bahkan Mawi tidak tahu menahu yang beliau popular walaupun AF3 belum lagi berakhir. Saya menyalahkan peminat terutamanya remaja yang terlalu fanatik pada Mawi. Hinggakan sindiran yang dikatakan oleh seorang panel juri untuk memberikan saja kereta Suzuki Swift kepada Mawi dianggap betul.

Sebenarnya juri hairan dengan sikap buta tuli penyokong fanatik Mawi, sedangkan pada masa yang sama, peserta dari Sabah, Masha diakui mempunyai persembahan yang mantap dan profesional.

Tindakan menjadikan Mawi sebagai idola atau bintang top hanyalah bertujuan menyekat calon-calon berbakat dari Sabah seperti Felix, Yazer, Masha dan Ekin. Ini sudah saya sedari dari awal lagi.

Berbalik kita kepada AF2 musim lalu di mana peserta dari Sabah seperti Linda, Adam, Mas adalah cukup berbakat. Di sinilah bermulanya Fan Club atau FC.

Linda mempunyai FC tersendiri dengan Puteri UMNO kawasannya mengumpul wang bagi membekalkan kad prepaid. Di sinilah bermulanya idea permainan FC ini.

Musim lalu Zahid bernasib baik kerana bakatnya yang agak menonjol, tetapi pada musim ini tiada bakat sehebat Zahid. Maka Mawi dijadikan idola walaupun bakatnya tak seberapa berbanding dengan Masha yang memukau penonton dan panel juri seperti Sharifah Aini dan Aman Ramli.

Penonton seluruh Malaysia tahu hal ini, begitu juga kehebatan suara Felix yang serba cocok dengan apa pun rentak.

Saudara Aznil tentu lebih maklum. Ada agenda tersembunyi yang hanya penyokong FC faham hal ini. Ada juga dimasukkan FC Mawi dari Sarawak/Sibu, Langkawi dan sebagainya. Kenyataannya adalah palsu. Saya yakin FC itu hanyalah sekitar Johor Bahru, Kulai, atau paling tidak Kuala Lumpur.

Oleh kerana keempat-empat peserta dari Sabah ini hebat, seluruh penonton di Sabah ingin mengekalkan kesemua mereka. Jadi berlaku perpecahan undi SMS terhadap empat peserta tersebut. Sebaliknya Mawi selamat kerana sokongan padu dari FC di Semenanjung.

Saya mengikuti Forum Chat @ Channel 15. Ternyata dari sembang-sembang Chat itu, mereka berusaha untuk menyingkir terlebih dulu peserta dari Semenanjung yang difikirkan menyusahkan mereka memberi undian terbanyak untuk Mawi.

Pihak ASTRO dan peminat seni suara harus faham mainan ini dan perkara ini perlu dimaklumkan supaya keadaan tidak menjadi lebih parah.

M. Nasir selaku Pengetua Akademi Fantasia melabelkan Mawi sebagai... kerana kekasaran yang dilakukan terhadap seorang peserta wanita. Hal ini terdedah sewaktu Diari Akademi terbaru.

Saya berpendapat ahli-ahli akademik janganlah terlalu cepat mengambil contoh watak-watak artis dari program reality TV untuk dijadikan sampel mereka. - ADEPUTRAJAYA2005, Putrajaya.


Kawan-kawan, Rasulullah SAW adalah qudwah hasanah, ikutan yang baik bagi kita. Jika kita seorang pemimpin, jadilah seperti Rasulullah, jika seorang suami, jadilah seperti Rasulullah, jika seorang remaja, jadilah seperti Rasulullah, dan jika kita seorang isteri, pun ikutlah akhlak Rasulullah SAW.

Kawan-kawan, ada apa pada artis? Jaminkah seorang artis boleh menyelamatkan huru hara hari kiamat?

waAllhua'lam...

0 Komen