Persoal Isu Picisan

Catatan Oleh: .::.anNaQshY.::. | Wednesday, July 27, 2005 | 2 Komen »

Bismillahirrahmanirrahim...

Rimas gelagat masyarakat minat persoal isu picisan

Saudara Pengarang,
SAYA amat bersetuju dengan tulisan Mohd. Haikal Mohd. Fadzil dari Alor Star, Kedah yang bertajuk ``Masyarakat kita lebih minat bincang isu picisan'' yang disiarkan dalam forum Utusan Malaysia ini pada 25 Julai 2005.

Untuk mengulas lanjut, saya amat sedih dan terperanjat dengan kegilaan masyarakat sekarang dengan kebangkitan rancangan realiti TV seperti Akademi Fantasia.

Bukan sahaja remaja akan tetapi mereka yang dewasa pun tidak kurang ketinggalan untuk mempersoalkan isu remeh ini.

Kebangkitan blog-blog (laman Internet) yang mengupas rancangan ini juga boleh dikirakan sebagai kayu pengukur kepada betapa terkebelakangnya masyarakat Melayu. Blog-blog Internet ini lebih cenderung bercerita perihal persembahan pelajar, tarian peserta, baju yang dipakai tidak kena dengan lagu dan lain-lain.

Rata-rata blog ini adalah kepunyaan kaum Melayu yang mempunyai pekerjaan tetap. Saya hairan, mana mungkin mereka punyai begitu banyak masa untuk menulis perkara-perkara remeh sedemikian melainkan jika menggunakan masa di pejabat untuk berbuat demikian.

Kaum Melayu haruslah bangkit dan menyalurkan daya kreativiti mereka untuk menaiktarafkan daya pemikiran dan daya saing mereka sendiri sejajar dengan hasrat pertubuhan UMNO untuk menjana Melayu Glokal - yang mampu berdiri di atas kaki sendiri dan tidak takutkan kepada persaingan tempatan atau global.

Saya menyeru kepada mereka yang terlibat ini, gunakanlah fikiran kamu seadanya untuk terus memartabatkan bangsa. Banyak lagi isu semasa yang boleh dikupas untuk tujuan perbahasan bersama.

Daripada bercerita tentang perkara remeh seperti baju pelajar Akademi Fantasia lebih baik kita kupas sedikit tentang sumbangan kita terhadap Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9) yang sedang hangat menghambat negara sekarang. Kita perlukan pendapat dan saranan yang utuh untuk terus mengemudi negara.

Cubalah tukar isi-isi blog itu agar lebih ilmiah dan dihormati. Sarankan apa yang patut, berasas untuk terus menjadikan negara Malaysia ini maju dalam masa 15 tahun dari sekarang.

Umpamanya isu Bio-Valley yang bakal menjana ekonomi baru bagi negara kita ini. Bagaimana industri baru ini boleh menjadi salah satu teras yang boleh membawa Malaysia ke arah kemajuan. Kupas isu ini dari segi masa depan Malaysia, peluang pekerjaan, pelaburan asing dan sebagainya. Terlalu cetekkah pemikiran kita untuk terus menguburkan perkara-perkara serius sedemikian?

Saya menyeru agar pemilik-pemilik blog Melayu khasnya untuk bangkit dan janganlah terus alpa dengan isu-isu remeh rancangan realiti TV yang tidak mendatangkan sebarang faedah pun. Bangkitlah untuk kita terus menjana masa depan negara berteraskan kesahsiahan Melayu Glokal itu sendiri. - AZHAN JUSOH, Sri Damansara, Selangor.



Apa pandangan kalian? Rajin-rajinkan lah jari-jari anda menaip keyboard meninggalkan komen di bawah... Hehe

waAllhua'lam

2 Komen

  1. Anonymous // 11:55 PM  

    assalamu'alaikum..

    tak habis2 sembang ttg isu ranc. hiburan, sampai professor pun sibuk nak beri komen.. bagus juga ada yg menegur..

  2. Anonymous // 4:28 PM  

    assalamualaikum..
    betul tu

    rasanya takpayah kita bincang st pasal Mawi..rasa bosan pula..

    yg penting sekarang zaman fitnah..
    baik buruk semua nasihat dah diberi..cuma sebaik mungkin cubalah kita keluar dari fitnah ini...