Hujan

Catatan Oleh: .::.anNaQshY.::. | Thursday, February 17, 2005 | 0 Komen »

Bismillahirrahmanirrahim…

Apa perasaan anda, sekiranya selama lebih kurang setahun lebih anda tak merasai dan menikmati nikmat hujan. Susah nak beritahu jawapannya kan, sebab diri tak pernah mengalami.

Di Mesir, hujan turun sekali-sekala. Kalau hujan pun, dalam tempoh yang sekejap. Tak seperti negara khatulistiwa. Di sana, hanya musim sejuk dan musim panas. Aku balik ke sini, di sana masih lagi musim sejuk, tapi bila tiba di rumah aku, terasa panas yang sangat-sangat. Kejutan cuaca, Alhamdulillah, tak demam, cuma sekadar sakit kepala.

Hari ini, pukul 3.00 petang, nampak awan semakin kelam, menandakan hari nak hujan. Tepat 3.27 petang, hujan mulai turun. Dah lama aku tak saksikan hujan sebegini. Terasa nikmat hujan setelah lama tak merasai, tambahan pula sekarang musim kemarau. Hampir 3 bulan dikatakan hujan tak turun. Panas membahang membakar kulit badan.

Bila musim kemarau, manusia merungut terasa panas, “bila laaa hujan nak turun”, tiap-tiap hari tengok awan, kot-kot nak hujan. Tapi, apabila musim hujan, manusia juga merungut, “bila laaa hujan nak berhenti, nak keluar rumah pun susah, nak ke mana-mana pun susah, nak pergi ke pasar malam pun susah”. Tambahan pula, sekiranya hujan turun dengan lebat beserta dengan angin kencang. Apabila hujan turun di kala musim panas, baru terasa nikmatnya hujan. Dan apabila cuaca baik di kala musim hujan, baru terasa nikmatnya cuaca baik.

Sebagai orang yang beriman, semestinya kita tak mengeluh dengan ketentuan Allah. Hujan atau pun tidak, itulah ketentuan Allah. Yang pastinya, sebagai hambaNya, sifat syukur itu kena ada walau apa jua ketentuan kehidupan. Hendak menjadi hamba yang redha atas ketentuan dan bersyukur atas nikmat, amat sukar. Kena didik dan suburkan selalu di dalam jiwa.

Hujan adalah makhuk Allah, dan panas pun adalah makhluk Allah. Keduanya tidak memberi manfaat, dan juga tak sedikitpun boleh memudharatkan kecuali dengan izin Allah. Teringat aku peristiwa Tsunami yang berlaku pada 26 Disember tahun lepas, Allah SWT dengan hanya kalimah ‘kun’, maka ‘fayakun’. Tak ada siapa pun yang mampu menduga. Walau secanggih mana pun alat ciptaan manusia, seandainya Allah takdirkan juga, tetap ianya berlaku. Hanya air, makluk Allah yang selalu kita ambil manfaatnya seharian, tanpa di duga ‘mengganas’ mengorbankan beratus ribu nyawa.

4.15 petang, hujan berhenti. Alhamdulillah, terasa nikmat hujan. Hujan yang turun di musim panas, dapat menyuburkan kembali tanah yang kegersangan kekeringan. Begitu juga dengan jiwa kita, sekiranya dibiarkan tanpa ‘air’ iman dan taqwa, pasti akan ‘kekeringan’. Suburkanlah ianya selalu dengan ‘air’ iman dan taqwa. InsyaAllah, nur iman di jiwa pasti akan memancar subur menerangi kegelapan.

Mari kita sama-sama bertafakkur, merenung sejenak akan nikmat yang Allah kurniakan. Semoga diri kita jadi hamba yang bersyukur.

Wa Allahu a’lam.

0 Komen