Bismillahirrahmanirrahim...
Bermula hari Rabu, kami mengatur rancangan. Terima kasih kepada kawan aku (Chan) yang banyak menolong aku sepanjang aku berada di Kaherah. Aku tiba di ARMA pada waktu Zohor. Asalnya aku ingin pergi ke Husin (persekitaran Masjid Husin), tapi kawan aku ingin pergi ziarah makam Imam as Syafie, di kawasan yang dinamakan Saidatina Aishah.
Memang aku berniat, aku akan menziarahi makam Imam As Syafie sebelum aku berangkat pulang. Alhamdulillah, Allah makbulkan. Kawan aku mengajak pergi hari ni, tanpa berfikir panjang, aku mengiakan untuk pergi.
Adalah terlalu baik sebelum pulang, aku menziarahi makam Imam Syafie. Jasa beliau kepada Islam amatlah besar. Beliaulah pengasas Mazhab Syafie. Majoriti masyarakat kita di Nusantara, bermazhab as Syafie. Menziarahi orang yang telah ‘pergi meningalkan’ kita, amat besar manfaatnya. Agar menjadi satu peringatan kepada kita yang bakal menyusuli. Tambahan lagi, menziarahi seorang ulama yang terkenal akal keilmuanya. Beliaulah orang yang pertama menyusun ilmu usul feqh, menjadi rujukan utama dalam permasalahan feqh bagi yang bermazhab as Syafie.
Sekiranya kita menyelidiki kisah perjalanan hidup Imam as Syafie, kita pasti akan kagum. Begitu juga sekiranya kita menyelidiki sejarah hidup dan perjuangan imam mujtahid yang lain seperti Imam Malik, Imam Abu Hanifah dan juga Imam Ahmad Ibnu Hanbal. Bagi aku, ‘terlalu kekurangan ajaran’ buat mereka-mereka yang sering melolong agar tidak bermazhab. “Kita tidak perlu bermazhab, terus kepada al Quran dan as Sunnah”. “Bermazhab ini bid’ah”. Golongan seperti ini, telah ditegur oleh Dr. Ramadhan al Buti dalam kitabnya “ala mazhabiyah”.
Walau apa pun, golongan yang sebegini, bukanlah aku menganggapi sebagai musuh utama. Musuh aku adalah iblis dan juga kafir laknatullah. Iblis dan puak kafir inilah yang menyuntik jarum perpecahan kepada ummat Islam. Aku merasa sedih, perkara-perkara cabang inilah yang sering menimbulkan perbalahan. ‘golongan’ ini, mereka sering mengungkit kembali persoalan ‘furu’ yang sudah boleh dianggap selesai berkurun lamanya dahulu. Setelah perkara-perkara itu, diperbincangkan secara hikmah oleh ulama Islam secara berlapang dada tanpa menuduh antara satu sama lain dengan menghukum bi’dah, sesat dan sebagainya.
Berbeza dengan zaman sekarang. Membenarkan sabda Nabi SAW, umat akhir zaman ni ramai, tapi banyaknya seperti buih di pantai. Sekali air ke pantai, sekali ada buih, lepas tu, habis hilang berpecah entah ke mana. Mereka dari ‘golongan’ ini, dengan mudah menghukum orang lain dengan kalimah ‘awak melakukan bid’ah, siapa buat bid’ah maka tertolak’ Tanpa menerima pakai hujah orang lain dan berlapang dada atas perkara-perkara yang cabang. Perkara-perkara cabang yang diperselisihkan, eloklah berlapang dada. Jangan mudah menghukum orang lain dengan kalimah bid’ah. Bagi aku, aku menghadapi golongan ini dengan prinsip aku yang agak keras. Jika dari golongan mereka ingin berbincang, bincanglah cara molek. Sekiranya aku boleh menerima hujah meraka itu, mereka juga semestinya menerima hujah aku. Masing-masing punyai hujah untuk beramal, jadi sikap kita yang harus diambil ialah berlapang dada. Aku beramal dengan hujah aku dan engaku tinggalkanlah amalan tersebut dengan hujah engkau.
Semestinya kita lebih mencari jalan penyelesaian permasalah yang bersangkut paut dengan kesatuan umat Islam dan jihad. Saudara-saudara seagama kita yang berada di Palestin, memerlukan kesatuan kita untuk menghadapi ancaman musuh Islam seperti kuasa Amerika dan Israel laknatullah. Kesatuan Islam dirobek dengan mudah oleh musuh Islam. Agama diasingkan dalam kehidupan. Ruang lingkup agama hanya dihadkan untuk ibadah solat dan pernikahan sahaja. Persoalan pentadbiran negara dan ekonomi diambil dari sumber selain al Quran dan as Sunnah. Islam diperintah, bukan Islam yang memerintah. Pemuda-pemudi telah lali dengan suntikan propaganda Amerika dan Israel laknatullah. Pemuda-pemudi lebih hanyut dalam dunia hiburan semata-mata. Lihatlah acuan yang telah disediakan oleh kerajaan, acuan yang membentuk jiwa remaja menjadi lembik dengan nyanyian. Malaysia idol dan Akademi Fantasia menjadi contoh acuan kerajaan. Majalah hiburan yang menjadi pilihan bacaan utama remaja sekarang ini, membuatkan remaja semakin parah jiwanya. Kelonggaran pemantauan Kementerian Dalam Negeri mengawasi apa jua bentuk media massa menjadi antara sebab kelemahan jiwa remaja. Artis menjadi idola utama remaja sekarang. Itulah cita-cita puak kafir laknatullah. Meraka tidak berjaya memusnahkan al Quran tetapi mereka telah berjaya menjauhkan isi kandungan al Quran dalam kehidupan seharian ummat Islam.
Setelah kami tiba di kawasan yang dinamakan ‘Saidatina Aishah’, tampat pertama kami tuju ialah makam Saidatina Aishah. Saidatina Aishah yang dimaksudkan bukanlah Isteri Rasulullah, tetapi ahli bait Rasululllah. Seperti yang aku faham membaca salsilah di makam tersebut, beliau berketurunan Saidina Ali Radhiahhuanhu.
Setelah solat Asar di situ, kami berbincang, sama ada untuk terus ke makam Imam Syafie atau singgah dahulu di Qal’ah (Kubu Sultan Salehuddin al Ayyubi). Setelah berpakat, kami membuat keputusan untuk pergi ke Qal’ah Sultan Salehuddin al Ayyubi dahulu. Waktu pun tak sempat mana, kemungkinan dah tutup ataupun masih buka lagi. Tapi alhamdulillah, masih dibuka. Ramai orang yang datang, tak kira pelancung dari negara barat atau pun dari kalangan penduduk tempatan.
Kami dikenakan bayaran sebanyak LE 20. tu pun atas tiket pelajar. Kalau pelancung LE 35 (seingat aku ) dan penduduk tempatan hanya LE 2. beza berkali-kali ganda dengan harga pendudk tempatan. Memandangkan kemungkinan hanya kesempatan ini yang aku akan sampai di sini, aku masuk juga untuk melihat peninggalan sejarah yang begitu unik.
Aku nak menceritakan serba serbi apa yang ada, mungkin agak susah. Di antara apa yang aku perhatikan, kota kubu Sultan Salehuddin al Ayyubi ini memang amat unik. Terletak di atas bukit memudahkan strategi untuk melihat musuh. Apabila menyebut Sultan Salehuddin al Ayyubi, teringat aku sebuah kisah bagaimana Sultan Sallehuddin dalam mengatur strategi peperangan menghadapi pihak musuh, waktu malam sebelum bermulanya peperangan, beliau akan perhatikan khemah mana yang penghuninya akan bangun malam untuk bermunajat pada Allah SWT. Dan penghuni khemah tersebutlah akan beliau letakkan sebagai tentera yang berada di barisan paling hadapan. Itulah kehebatan tentera-tentera Islam zaman silam. Solat malam tidak pernah ditinggalkan. Jika solat yang sunat itu amat dititik beratkan, apatah lagi dengan soal-soal yang fardhu.
Bandingkan dengan tentera Islam sekarang. Adakah seperti tentera Islam dahulu? Perkara fardhu seperti solat 5 waktu pun kadangkala terabai. Arak menjadi munuman di majlis kerasmian. Bayangkan pula sejarah Sultan Muhammad al Fateh, yang menawan kota Konstantinopel. Sultan Muhammad al Fateh di bimbing dengan didikan seorang sufi sejak kecil. Beliau sekali-kali tidak pernah meniggalkan solat malam. Mursyidnya seorang sufi, pembimbing jiwa kerohanian. Maka lahirlah sorang mujahid di siang harinya, dan malamnya bagaikan seorang abid. Maka di usia 19 tahun, memimpin tentera yang besar untuk menawan kota Konstantinopel.
Bangunan yang paling di atas di dalam kota kubu Sultan Sallehuddin al Ayyubi ialah masjid. Seni binanya amat menyentuh hati, halus dan indah. Menandakan arkiteknya seorang yang berjiwa sufi. Hasilnya amat mengkagumkan. Sekarang, hendak mencari seorang arkitek yang berjiwa sedemikian, amatlah susah. Maka, sekarang lahirlah masjid-masjid yang hanya indah pada pandangan mata, tetapi tidak jatuh ke dalam lubuk hati.
Bersambung…
0 Komen
Post a Comment