Bismillahirrahmanirrahim...
Jumaat, 4/2/2005, 10.32 am, lahirlah sebuah weblog yang aku namakan anNaQshY-Catatan Kehidupan Seorang Musafir. Dah lama aku fikirkan, untuk mewujudkan sebuah weblog, untuk tatapan peribadi dan jua untuk tatapan umum, berkongsi maklumat kehidupan kita yang sedang bermusafir, bermusafir di atas bumi yang rasanya sudah hampir kepada penghujungnya. Bermusafir dalam kehidupan dari tiada kepada ada, dan akan kembali kepada tiada. Itulah kematian. Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Itulah peringatan Allah di dalam al Quran, kepada kita yang dinamakan makhluk. Agar menjadi pedoman, dalam menjalani kehidupan yang pastinya fana ini, biarlah berlandaskan jalan taqwa. Asas sifat bagi muslim yang bertaqwa ialah mengikut apa yang diperintah oleh Allah SWT, dan meninggalkan apa yang dilarang olehNya.
Jumaat, 4/2/2005, 10.32 am, lahirlah sebuah weblog yang aku namakan anNaQshY-Catatan Kehidupan Seorang Musafir. Dah lama aku fikirkan, untuk mewujudkan sebuah weblog, untuk tatapan peribadi dan jua untuk tatapan umum, berkongsi maklumat kehidupan kita yang sedang bermusafir, bermusafir di atas bumi yang rasanya sudah hampir kepada penghujungnya. Bermusafir dalam kehidupan dari tiada kepada ada, dan akan kembali kepada tiada. Itulah kematian. Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Itulah peringatan Allah di dalam al Quran, kepada kita yang dinamakan makhluk. Agar menjadi pedoman, dalam menjalani kehidupan yang pastinya fana ini, biarlah berlandaskan jalan taqwa. Asas sifat bagi muslim yang bertaqwa ialah mengikut apa yang diperintah oleh Allah SWT, dan meninggalkan apa yang dilarang olehNya.
Telah termaktub dengan lengkap untuk manjadi seorang muslim yang bertaqwa di dalam al Quran, dan juga telah ditunjukan oleh utusanNya Nabi Muhammad SAW secara praktikal dalam kehidupan Baginda. Perjalanan kehidupan Baginda semuanya termaktub dalam sirah Baginda yang murni. Antara ulama yang telah menyusun kitab untuk menulis sirah Baginda ialah Ibnu Hisyam, kitabnya yang dikenali sebagai as Sirah An Nabawiyah Ibnu Hisyam. Dan juga kitab-kitab tarikh seperti Bidayah wan Nihayah oleh Ibnu Kathir. Melalui sirah Bagindalah kita dapat mengetahui sebuah kehidupan contoh yang murni yang wajib dijadikan contoh kehidpuan kita untuk menjadi muslim yang bertaqwa.
Dan juga kalam-kalam peringatan Baginda melalui hadith-hadith yang telah di susun oleh ulama-ulama hadith. Antaranya ialah Sohih Bukhari; di susun oleh Imam Bukhari dan Sohih Muslim; Imam Muslim, dan juga ulama-ulama hadith yang lain. Sohih Bukhari telah disyarah dengan panjang lebarnya, antaranya oleh Ibnu Hajar al Asqalani yang diberi tajuk kitabnya Fathul Bari. Sohih Muslim juga telah disyarah oleh Imam an Nawawi.
Seperti yang diceritakan oleh kawan aku, kitab yang paling banyak jilidnya yang telah ditulis oleh orang Melayu ialah kitab Bahrul Mazi, syarah kepada hadith yang telah di susun oleh Imam at Turmizi. Namanya ialah Muhammad Idris Abdur Rauf al Marbawi al Azhari. Orang Merbuk, Perak. Seharusnya orang Merbuk berbangga dengan lahirnya dari tempat mereka seorang ulama yang terkenal kealimannya. Bagi pelajar yang belajar di Mesir, kitab Bahrul Mazi sewajarnya dibeli. Kitab tulisan Melayu yang dicetak di negara arab. Hanya beliau seorang dari kalangan orang Melayu yang menulis kitab paling banyak jilid. Dan sememangnya dari kalangan ulama melayu, hanya nama beliau seorang yang tersohor dengan kealiman. Terkenal dengan kitab beliau Bahrul Mazi dan kamus al Marbwi yang menajadi rujukan utama bagi pelajar-pelajar yang bersekolah di sekolah arab. Semoga Allah melimpahi rahmat tidak terhingga kepada beliau.
Sekiranya kita perhatikan, semua ulama-ulama dari dulu, semestinya menulis kitab untuk tatapan generasi akan datang, agar menjadi pedoman dan tunjuk ajar untuk menjadi muslim yang bertaqwa. Ilmu yang dipelajari disampaikan melalui bentuk penulisan. Dan semestinya penulisan mereka itu menjadi saham yang berguna untuk kehidupan selepas kematian. Amanah ilmu dilaksanakan dengan penuh ketaqwaan. Selagi mana ada hamba Allah yang membaca kitab mereka, selagi itu berjalan pahala kepada mereka sehingga hari akhirat. Sumbangan mereka untuk membina tamadun manusia amat tinggi nilainya.
Terfikir juga aku, apakah yang mampu aku laksanakan atas amanah ilmu yang aku ketahui. Apakah sumbangan aku untuk sama-sama membina tamadun kemanusian untuk membina masyarakat Islam yang terpancar ketamadunan akhlak yang tinggi. Untuk aku mengarang sebuah kitab seperti ulama-ulama dahulu, rasanya... Entah bila dapat hasilnya. Diri ini yang ama kerdil berbanding dengan ulama silam, hebat ulama silam dengan karangan yang meraka lahirkan. Sama-sama kita perhatikan dan renungi kitab-kitab mereka yang berjilid-jilid. Dengan susunan bahasa hati yang menunjukkan kejernihan jiwa dan nilai ketaqwaan yang tinggi. Hebatnya ulama silam berbanding dengan kita.
Apa-apa pun, dengan diri kita yang seadanya, marilah sama-sama bergerak untuk memberikan sumbangan membangkitkan kembali ummat Islam yang bertamadun seperti generasi Rasulullah dan sahabat. Aku tak mampu melahirkan sebuah kitab yang berjilid-jilid seperti mereka, aku hanya mampu melahirkan sebuah weblog peribadi untuk tatapan bersama. Melakarkan kehidupan seorang insan atas penilaian sekeliling. Berkongsi ilmiah dengan kalian agar dapat sama-sama mencambahi buah fikiran membantu membina sebuah masyarakat yang bertaqwa.
Inilah sumbangan aku sekarang. Lahirnya weblog ini semoga mendapat manfaat bersama. Menjadi saham untuk kehidupan aku selepas kematian. Setiap makhluk ada tarikh permulaan dan juga tarikh akhir. Begitu juga dengan weblog ini. Ntah bila ianya akan berakhir seiring dengan kehidupan aku yang ntah bila akan berakhir. Matlamat kehidpuan adalah untuk sebuah kematian. Mungkin ianya berakhir esok, lusa, minggu depan, bulan depan, tahun depan atau..? Yang pastinya kita akan merasai detik kematian.
Kematian adalah tazkirah yang paling berkesan. Setiap jiwa yang hidup dalam hatinya tazkirah kematian, akan selalu perbetuli jalan kehidupannya seandainya tergelincir. Kita, yang dinamakan manusia, pasti akan tergelincir dari jalan ketaqwaan. Hanya Rasul dan Nabi yang terpelihara dari kesilapan. Kita selalu alpa dan lalai dari jalan ketaqwaan. Hamba Allah yang paling di sukai Allah ialah apabila melakukan kesalahan, cepat-cepat insaf dan bertaubat. Dan paling dibenci Allah ialah, apabila melakukan kesilapan, tidak mahu bertaubat dan menyesali atas dosa yang dilakukan. Dan lebih teruk lagi, buat 'slamber' je, orang kata, hati kering. Itu alamat hati kita perlu ditukar. Minta kepada Allah agar ditukarkan hati yang baru, kerana hati yang ada sekarang, dah rosak dan tidak boleh diguna lagi.
Sekurang-kurangnya, apabila ditanya; apakah usaha aku semasa hidup untuk usaha dakwah, aku boleh menjawab; inilah usaha aku. Memberikan peringatan agar sama-sama bertaqwa. Alangkah hinanya kehidupan kita sekiranya kita tidak berusaha untuk menjalankan usaha dakwah. Menyeru ke arah kebaikan Islam yang Islam ajarkan adalah tugas utama sebagai khalifah Allah di atas muka bumi. Tugas amanah seorang khalifah adalah amat berat. Amat sekali. Seperti Allah ceritakan di dalam al Quran, betapa gunug-ganang yang besar itu tidak mahu untuk menaggung amanah sebagai khalifah di atas muka bumi. Tetapi manusia yang kerdil ini, telah menerima amanah sebagai khalifah Allah. Jadi, apakah kita sudah bersedia untuk menjawab persoalan amanah yang telah dipertanggungjawabkan ke atas bahu kita?
Nabi Muhammad SAW, adalah sebaik-baik teladan. Untuk berjaya dan bahagia di akhirat, tidak dapat tidak hendaklah mengikut orang yang pernah berjalan jalan tersebut dan berjaya sampai destinasi dengan selamat. Generasi sahabat mengikut jalan yang ditunjuk oleh Nabi SAW, generasi tabiin mengikut jalan yang telah dilalui oleh Nabi SAW dan sahabat Nabi, begitu juga mereka-mereka yang terdahulu, semuanya mengikut jalan yang sama. Kerana apa? Kerana jalan yang telah ditempuh oleh Nabi, sahabat dan generasi selepas itu, semunya berjaya sampai ke destinasi dengan selamat. Jadi, adakah kita akan mengikut jalan yang lain, yang sudah tentu tidak sampai ke destinasi dengan selamat.
Semoga weblog aku ni, catatan kehidupan yang memberi makna untuk kehidupan kita semua. Semoga Allah permudahkan urusan aku.
Wallua'lam.
0 Komen
Post a Comment