Sebelum Pulang...

Catatan Oleh: .::.anNaQshY.::. | Tuesday, February 08, 2005 | 0 Komen »

Bismillahirrahmanirrahim…

Aku terpaksa membuat keputusan untuk pulang, ada masalah yang memaksakan aku berbuat sedemikian. Walaupun banyak urusan lagi yang perlu aku laksanakan di sana. Terasa sayang pulak hendak meninggalkan bumi para anbiya’ dan para waliNya yang dikasihiNya. Walau pun kadang-kadang, ‘tension’ dengan gelagat dan perangai orang-orang arab di sana. Hanya Allah yang tahu betapa memerlukan kesabaran yang tinggi menghadapi perangai dan sikap masyarakt arab.

Hidup di sana, membuatkan aku terfikir, bagaimana Utusan Allah menghadapi karenah dan sikap masyarakat arab. Kenapa Allah pilih dari kalangan bangsa arab. Bila secara realiti aku hadapi, mungkin aku boleh buat beberapa kesimpulan atas banyak persoalan serta hikmah yang Allah aturkan. SubhanaAllah.

Rasulullah SAW berjaya mendidik jiwa masyarakat arab yang dulunya hidup dalam kegelapan. Saidina Umar sebelum Islam terkenal dengan kekerasan menentang Nabi SAW. Madrasah Rasulullah SAW yang bermula hanya sedikit; iaitu bermula di rumah Arqam bin Abi Arqam akhirnya berjaya membentuk sebuah ‘negara Islam’ yang terkenal dengan ketamadunan kemanusian yang tinggi. Bangsa arab dahulunya hina, beperang sesama puak, akhirnya mulia dengan utusnya Rasulullah SAW. Mulianya bangsa arab dahulu adalah kerana Islam. Ya… Islamlah yang memuliakan bangsa arab.

Terfikir aku, sekiranya bangsa arab yang begitu sikapnya, keras hati, kasar dan sebagainya, pun berjaya dididik madrasah Rasululllah, bagaimana pula dengan bangsa melayu. Didikan Rasululullah berjaya melahirkan insan yang paling lembut hatinya, paling takut pada Ilahi, paling baik aklaknya sehingga generasi sahabat diiktiraf oleh Nabi SAW umpama bintang di malam hari, yang menjadi penunjuk buat mencari jalan ketaqwaan.

Bagaimana bangsa Melayu yang dikenali dengan kesopanan, lembut hati, berbudi bahasa dan tidak kasar seperti bangsa arab. Kita telah gagal menyeru membawa bangsa kita ke arah kemuliaan Islam. Menyeru orang yang seagama dengan kita ke arah lebih mempraktikkan kesyumulan Islam tanpa menjuzuk-juzukkan Islam. Kita gagal. Itu belum lagi usaha kita menarik orang yang membenci Islam ke arah mendekati dan seterusnya menjadikan Islam sebagai agamanya.

Banyak faktor yang menyebabkan ianya berlaku. Kita perlu bersama-sama bermuhasabah, saling memperingati dan saling membantu untuk merealisasikan matlamat bersama; untuk melihat masyarakat kita kembali menghayati Islam secara syumul. Usaha perlu dipertingkatkan, kita adalah rantaian tali perjuangan, bukan yang memulakan, dan bukan yang mengakhirkan. Tapi kita adalah salah satu rantaian perjuangan dari generasi ke generasi sehinggalah tertegaknya kemenangan Islam yang Allah janjikan.

31 hb tarikh yang ku pilih untuk pulang. Aku ada masa 30 hari lagi untuk menyelesaikan perkara yang wajib berkaitan dengan sijil-sijil pengajian aku. Kira-kira 4 minggu yang aku peruntukan; seminggu untuk urusan di kuliah, seminggu urusan di safarah (kedutaan) dan seminggu lagi urusan untuk peribadi. Mungkin sedikit barangan dari sini untuk tatapan keluarga. Walau pun kekeringan ekonomi yang amat sangat, perlu juga dibawa pulang walau sedikit, walau kecik, walau pun murah.

Jadual perancanganku berubah. Hari raya haji di negara arab berbeza sambutannya dengan negara kita. Kita; raya puasa disambut dengan meriah, kadang-kadang, baru puasa dalam 2 3 hari, dah banyak iklan di media massa. Puasa nya tak seberapa. Dan raya korban, tak semeriah mana. Tapi tak tau kalau di negeri pantai timur, dikhabarkan meriah.

Tapi masyarakat arab, sambut raya haji lebih meriah berbanding raya puasa. Dan itulah yang dituntut. Kemungkinan di negara kita, sudah menjadi adat memeriahkan raya puasa. Dan itulah yang berlaku sejak kita kecil. Jadi, peruntukan masa untuk urusan kuliah berganjak. Dan akhirnya segala urusan yang wajib (berkaitan dengan kuliah) selesai seminggu sebelum tarikh aku pulang).

Dalam tempoh seminggu sahaja, aku perlu selesaikan banyak urusan. Mencari sedikit barang, menziarahi kawan-kawan yang banyak menolong aku semasa aku belajar di sana, jalan sekitar Kaherah, dan yang penting, pameran buku. Ada 2 3 buah kitab lagi yang aku perlu beli untuk mencukupi kotak kiriman kitab aku.

Bersambung…

0 Komen