21 Mac 2005; Setahun Berlalu.

Catatan Oleh: .::.anNaQshY.::. | Monday, March 21, 2005 | 0 Komen »

Bismillahirrahmanirrahim…

Keindahan Islam itu terserlah apabila perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat berjaya mendirikan Negara Islam Madinah. 3 elemen utama dan pertama yang diberi perhatian Rasulullah SAW apabila tibanya Baginda di Madinah ialah:

1. Piagam Madinah
2. Persaudaraan Muhajirin dan Ansar
3. Masjid

Tertegaknya pemerintahan Rasulullah SAW, terserlah keindahan agama Allah dalam semua aspek kehidupan. Bermula bangun tidur, sampai kita kembali untuk tidur. Semunya secara ‘praktikal’ ditunjuk oleh Rasulullah SAW. Rasulullah SAW tak pernah menjuzukkan wahyu Ilahi, tak pernah mendahului akal untuk melaksanakan perintah Allah. Apa yang turun dari Ilahi, secara total terus dilaksanakan oleh Rasulullah dan para sahabat. Kami dengar dan kami patuh.

Sekarang, kita tak akan nampak keindahan Islam itu secara total selagi mana Islam tidak memerintah. Kita tak akan nampak selagi mana al Quran dijuzukkan, hanya dilaksanakan mengiku hawa nafsu. Apa yang berkenan oleh nafsu, baru laksana. Keindahan Islam itu terserlah apabila wahyu Ilahi dan kalam Baginda Rasulullah dilaksanakan secara total bermula dari pemerintahan paling tinggi sehinggalah yang di bawah dalam semua aspek. Politik, perundangan, ekonomi, sosial dan sebagainya. Bukan sekadar persoalan solat, nikah cerai, puasa dan haji.

Tanggal 21 Mac, maka genaplah setahun pilihanraya 2004 berlalu. Maka genaplah usia setahun kebangsaan Islam Hadhari. Kita boleh nilai sejauh mana terlaksana prinsip yang telah dikatakan oleh pemimpin kita. Adakah benar-benar terlaksana mengikut acuan al Quran dan as Sunnah, atau sekadar mainan politik untuk meraih kuasa nafsu pemerintahan.

Islam bukan hak milik mutlak pemerintah, dan bukan juga hak milik pembangkang. Sesiapa yang mengucap kalimah Tauhid, dia wajib untuk melaksanakan syariat Allah dalam semua aspek kehidupan. Wajib menegakkan yang ma’ruf dan mencegah yang mungkar.

Kita sebagai rakyat yang beragama Islam, mahukan Islam itu memerintah, mahu keindahan Islam itu terlaksana dalam semua aspek. Mahu wahyu Ilahi dilaksanakan. Walau siapa pun yang memerintah.

Persoalan, adakah kerajaan sekarang benar-benar mahukan Islam terlaksana secara total? Adakah Islam Hadhari itu Islam yang dilaksanakan seperti Rasulullah dahulu? Atau pun istilah itu timbul hanya sekadar untuk meraih simpati pengundi dan mengelirukan masyarakat.

Aku tak nak sentuh bab istilah, cukuplah kita boleh nilai dasar yang di bawa. Apa dasar pembangkang, apa dasar kerajaan. Semestinya, dasar perjuangan kita adalah al Quran dan as Sunnah, jadi jamaah mana yang punyai dasar itu, itulah yang perlu kita ikuti.

Walaupun istilah Islam Hadhari diguna pakai, tapi kalau dasarnya adalah sekular, memisahkan dan menjuzukkan al Quran dan as Sunnah, maka tertolak jamah itu. Walau pun istilah Hadhari menjadi slogan, tapi acuan pemerintahan berdasarkan barat, akal nafsu semata-mata, tidak menjadikan al Quran dan as Sunnah sebagai acuan, tidak merujuk kepada ulama-ulama yang ikhlas kerana Allah, maka ianya tertolak.

Dasar atau acuan itu adalah akar tunjang. Umpama, sekiranya kita nak buat kuih bahulu, mesti kita kena guna acuan bahulu, tak boleh kita guna acuan kuih lain untuk menghasilkan kuih bahulu. Sekiranya kita nak lahirkan masyarakat Islam, yang berpegang kepada Islam sepenuhnya, pemerintahan berlandaskan Islam, mesti kita kena guna al Quran dan as Sunnah dalam acuan pemerintahan.

Selagi mana kita tak kembali kepada Islam, kita tak melantik pemimpin dari kalangan manusia yang paham al Quran dan as Sunnah, selagi itu kita menempah keruntuhan masyarakat dalam semua aspek, kita menempah kebinasaan, ketakutan hidup dengan gejala jenayah dan keruntuhan akhlak.

Kembalilah kepada Islam secara keseluruhan. Gejala jenayah yang semakin berleluasa dalam kehidupan masyarakat kita hanya akan dapat diselesaikan sekiranya kita kembali kepada Islam.

Wa Allahua’lam.

0 Komen